
SKUAD Harimau Selatan memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan langkah sumbang apabila tunduk 1-2 kepada Buriram United di Stadium Thunder Castle, Thailand.
Kekalahan itu bukan sahaja pahit ditelan kerana ia menafikan permulaan sempurna, malah mengesahkan bahawa ‘badi’ Buriram masih menghantui pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Apa yang lebih membimbangkan, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut kepada kelab sama merupakan bukti bahawa kelemahan taktikal JDT masih belum terungkai.
BACA LAGI: 'Jairo, XM buat JDT lemah', Harimau Selatan digesa ikat import lebih berkualiti jika mahu pergi jauh
Bukan sedikit penyokong yang kecewa. Ramai menuding jari ke arah jurulatih, Xisco Munoz, kerana gagal merangka strategi berkesan meskipun memiliki skuad bertaraf bintang.
Nama besar seperti Jairo Da Silva, Ager Aketxe dan Joao Figueiredo diturunkan, namun rentak permainan JDT tetap pincang.
Lebih pedas, ada yang menganggap Munoz terlalu yakin dengan taktikalnya sendiri, hingga mengabaikan keperluan sebenar pasukan dalam situasi genting.
Majoriti menyenaraikan tiga kesilapan besar yang nyata menghantui JDT:
1. Lewat masukkan Bergson
Statistik gol Bergson sejak beberapa musim lalu sudah cukup membuktikan statusnya sebagai penyerang utama. — Facebook Johor Southern Tigers
Bergson da Silva ialah ‘killer player’ JDT. Statistik golnya sejak beberapa musim lalu sudah cukup membuktikan statusnya sebagai penyerang utama.
Malangnya, Munoz memilih untuk menurunkan Joao Figueiredo sebagai penyerang utama dan hanya memasukkan Bergson di penghujung permainan.
Keputusan itu jelas tidak masuk akal. Bila Bergson masuk, masa sudah terlalu suntuk dan Buriram sudah selesa mengawal perlawanan.
Apa gunanya ada senjata maut kalau dikeluarkan hanya ketika pasukan sudah terdesak?
2. Tidak tukar Nacho Mendez
Nacho Mendez dilihat gagal mengimbangi tempo permainan Buriram. — Facebook Johor Southern Tigers
Bahagian tengah adalah nadi sesuatu pasukan. Namun, Nacho Mendez dilihat gagal mengimbangi tempo permainan Buriram.
Pergerakannya lambat, kawalan bola lemah dan gagal menghubungkan serangan dengan baik.
Munoz sepatutnya lebih berani untuk membuat pertukaran awal. Menyimpan pemain yang jelas tidak berada pada tahap terbaik hanya menjerut pasukan sendiri.
Akibatnya, Buriram mudah memenangi perebutan di tengah, sekali gus menguasai perlawanan.
3. Tiada gaya permainan jelas
Munoz tidak mempunyai pelan taktikal kukuh ketika menentang Buriram. — Facebook Johor Southern Tigers
Ini mungkin isu paling besar. JDT selama ini sinonim dengan corak permainan tersusun, laju dan berdisiplin.
Namun, ketika menentang Buriram, mereka kelihatan longgar di benteng, tumpul di serangan dan bercelaru di bahagian tengah.
Paling ketara, tiada tanda-tanda jelas bahawa Munoz mempunyai pelan taktikal kukuh.
Apabila tiada identiti jelas, pemain pun kelihatan seperti hilang arah.
Kekalahan kepada Buriram itu bukan sekadar kelemahan biasa pada ketika ini. Nampak gah di liga sendiri tetapi 'layu' di bumi Gajah Putih.
Ia mendedahkan masalah dalaman yang lebih serius seperti kelemahan taktikal, keputusan lambat, serta ketiadaan identiti permainan.
Jika isu ini tidak diperbetulkan segera, JDT berisiko sekadar menjadi pelengkap jadual di ACLE.
4. Arif Aiman tenggelam, Suphanat lebih menyala
Arif Aiman gagal mencipta impak yang diharapkan ketika menentang Buriram. — Facebook Johor Southern Tigers
Harapan besar diletakkan kepada Arif Aiman, tonggak muda yang sering menjadi nadi serangan JDT. Namun, pada malam itu, kelibatnya seakan tenggelam.
Sentuhan yang biasanya tajam hilang, larian derasnya tidak berkesan, dan dia gagal mencipta impak yang diharapkan.
Lebih mengecewakan, kehadiran wonderkid Thailand, Suphanat Mueanta, jauh lebih menyerlah. Suphanat bukan sahaja pantas, malah berani mencabar benteng JDT berkali-kali.
Bezanya jelas yang mana seorang pemain muda menonjol di pentas besar, seorang lagi hilang dalam bayang-bayang.
Perbandingan ini memberi tamparan hebat, kerana sepatutnya Arif Aiman menjadi watak penting JDT di Asia, bukannya sekadar penonton dalam drama kehebatan lawan.
Kesimpulannya, penyokong sudah mula gelisah, kerana mereka tahu JDT mempunyai skuad yang cukup kuat untuk pergi jauh, tetapi segalanya boleh hancur jika jurulatih gagal mengemudi pasukan dengan betul.
Munoz kini berada di bawah tekanan besar. Jurulatih berasal dari Sepanyol itu perlu segera mencermin diri dan berani mengubah pendekatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram