'Jairo, XM buat JDT lemah', Harimau Selatan digesa ikat import lebih berkualiti jika mahu pergi jauh


  • Podium
  • Rabu, 17 Sep 2025

Antara aksi-aksi menarik perlawanan skuad Harimau Selatan dan Buriram United di Stadium Thunder Castle, Thailand, pada Selasa. — Facebook/Johor Southern Tigers

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan langkah kiri apabila tewas 1-2 kepada Buriram United di Stadium Thunder Castle, Thailand, pada Selasa.

Kekalahan pertama musim ini nyata mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, apatah lagi Harimau Selatan tampil dengan kesebelasan utama terbaik dibarisi Jairo Da Silva, Arif Aiman Hanapi, Ager Aketxe dan Joao Figueiredo.

Namun, JDT terus gagal merungkai ‘badi’ Buriram selepas tumpas buat kali kedua kepada wakil Thailand itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

BACA LAGI: Hong Wan mungkin terpinggir, 3 bintang Liga M masih ada masa pikat hati Cklamovski

Kekalahan JDT kali ini bukan sahaja berpunca daripada kelekaan benteng pertahanan, malah turut terikat dengan percaturan taktikal yang dilihat kurang sesuai dengan DNA pasukan.

Seorang penyokong, Syaufiq Effendy Ngaliman, berpendapat JDT gagal mengekalkan konsentrasi hingga memberi ruang kepada Buriram menjaringkan dua gol.

“Arif Aiman terasing di bahagian sayap dan tidak dapat melakukan larian berbahaya, sementara kelemahan di posisi Irazabal dimanfaatkan sepenuhnya oleh lawan.

"Malah, Bergson lebih banyak menghasilkan percubaan berbanding Jairo walaupun hanya diturunkan sebentar,” katanya.

Sementara itu, Faisal Mohamad pula menyentuh soal falsafah permainan di bawah kendalian jurulatih baharu, Xisco Munoz.

“Ketika era Benjamin Mora, walaupun hanya empat pemain import, JDT masih mampu mara ke kumpulan ACL.

Esteban Solari pula membuktikan dengan 10 import, Harimau Selatan meledak lebih 100 gol semusim.

“Tetapi kini, meskipun memiliki 18 pemain import, JDT masih gagal menyaingi kelab Asia Tenggara.

"Isunya, Xisco terlalu memaksa formasi 3-5-2 sedangkan pasukan ini lebih sesuai dengan empat pertahanan,” jelasnya sambil menyifatkan pembelian Israfilov dari liga Azerbaijan tidak memberi impak besar.

Dalam pada itu, Azmirul Shah Zubiar pula tanpa berselindung menyalahkan dua tonggak utama pasukan.

“Penyerang, Jairo dan jurulatih, Xisco Munoz membuat JDT lemah. Full stop,” katanya ringkas.

Untuk rekod, walaupun tewas, peluang JDT di ACLE musim ini masih terbuka kerana format baharu hanya memerlukan mereka menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas daripada 12 pasukan untuk mara ke suku akhir seterusnya menjadikan baki perlawanan sebagai penentu hala tuju sebenar Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram