
BINTANG Liverpool terpaksa berdepan gangguan menjelang aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila penyokong fanatik Galatasaray dipercayai membakar bunga api di luar hotel penginapan mereka di Istanbul, Turkiye.
Skuad The Reds ketika ini berada di Turkiye untuk menentang gergasi Super Lig itu dalam pertembungan peringkat kumpulan UCL pada Rabu (3 pagi waktu tempatan).
Tindakan itu dipercayai bertujuan mengganggu waktu rehat barisan pemain Liverpool, yang kini sedang bersiap sedia untuk menghadapi gergasi bola sepak Turkiye itu dalam perlawanan penting UCL.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Indonesia nafi terlibat dalam sekatan FIFA terhadap FAM
Laporan mengenai kejadian tersebut mula tersebar di media sosial, khususnya menerusi akaun X, @anfieldsocial, yang memuat naik video suasana sekitar hotel pasukan yang dipenuhi cahaya dan bunyi letupan bunga api.
Antara pemain utama yang dilaporkan turut berada di hotel ketika kejadian termasuk Mohamed Salah, Alexander Isak dan Florian Wirtz, yang mungkin terjaga dari tidur akibat bunyi kuat dan cahaya dari pertunjukan bunga api itu.
Aksi membakar bunga api di luar hotel lawan bukanlah sesuatu yang asing di Turkiye terutama membabitkan kelab besar seperti Galatasaray, Fenerbahce dan Besiktas yang dikenali dengan penyokong fanatik dan semangat luar biasa.
Taktik 'perang psikologi' seperti itu sering digunakan bagi menggugat fokus lawan, terutamanya menjelang perlawanan penting di peringkat Eropah dan Liverpool kini menjadi mangsa terbaru kepada pendekatan itu.
Dengan gangguan tersebut, skuad The Reds dijangka berdepan cabaran lebih besar apabila turun ke padang nanti, bukan sahaja dari segi taktikal, tetapi juga dari segi mental dan fizikal akibat kurang rehat menjelang perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram