
BEKAS jurulatih dalam Persekutuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Tat Meng sudah semakin sembuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Australia pada 7 September lalu.
Perkembangan tersebut dikongsikannya menerusi hantaran di Facebook peribadinya pada Rabu dengan dia menzahirkan ucapan penghargaan buat orang ramai yang terus mendoakan kesejahteraannya.
"Ini adalah 'coach' Tat Meng dari hospital, keadaan saya baik ketika ini. Terima kasih banyak-banyak atas segala sokongan serta cinta dicurahkan," katanya.
BACA LAGI: Bekas mentor Lee Zii Jia kritikal, nahas babit 2 motosikal di Sydney
BACA LAGI: Bakal berpisah dengan Tat Meng, Zii Jia kembali 'berguru' di bawah Hendrawan?
Tat Meng terlibat dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain. — Scoop MY
Jurulatih berusia 58 tahun tersebut sebelum ini terlibat dalam insiden jalan raya selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal lain sekitar Putty Road, Grand Valley.
Kemalangan itu menyaksikan Tat Meng dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan dengan perkembangan positif hanya dikongsikan sejak beberapa hari lalu.
Malah, berdasarkan kemas kini rasmi kelab badminton Roketto yang berpangkalan di Sydney, Tat Meng yang berkhidmat sebagai pengarah program dan kejurulatihan turut berkongsi hal sedemikian.
Ini selepas dia didapati sudah mampu berbual dengan jelas bersama pelawat serta pasukan perubatan selain mula mengambil makanan berbentuk kisar.
Tat Meng (kanan) merupakan antara jurulatih yang terlibat membantu Zii Jia meraih pingat gangsa pada Olimpik 2024.
“Semalam, buat kali pertama beliau diletakkan di atas kerusi roda yang membolehkan beliau menjalani senaman pemulihan dan menikmati udara segar di luar.
“Walaupun masih memerlukan beberapa minggu lagi untuk pemulihan, tahap kesihatan beliau sangat positif dan pemulihannya terus memberikan inspirasi kepada orang sekeliling,” kata kenyataan kelab itu menerusi hantaran di Facebook.
Sepanjang karier kejurulatihannya, Tat Meng bukan sahaja pernah mengendalikan skuad kebangsaan malah membimbing pemain profesional, Lee Zii Jia sehingga berjaya meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, kerjasama dengan Zii Jia berakhir pada Disember tahun lalu sebelum dia menerima tawaran mengetuai program pembangunan badminton Roketto di Australia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram