'MPM tak boleh bertindak sendiri', Hannah Yeoh pertahan Liek Hou tuntut hak


  • Podium
  • Khamis, 18 Sep 2025

MPM sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Liek Hou.

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap atlet badminton yang merupakan pemenang pingat emas dua kali Sukan Paralimpik, Cheah Liek Hou atas dakwaan fitnah dan menjatuhkan reputasi organisasi itu.

Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berang dengan kenyataan dikeluarkan pemain itu yang mengatakan PCM tidak menulaskan bayaran sebanyak RM60,000 kerana berjaya membawa pulang pingat dari temasya diadakan di Paris, Perancis pada tahun lalu.

Pihaknya tidak pernah berjanji imbuhan sedemikian dan kenyataan dikeluarkan oleh Liek Hou itu adalah tuduhan berat. 

BACA LAGI: Liek Hou akan terima insentif RM60,000 seperti dijanji — Hannah Yeoh

BACA LAGI: 'Macam kena scam', setahun sudah berlalu, pemenang pingat emas negara tanya MPM mana habuan?

Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin

"Kami tidak pernah berjanji kepadanya dengan nilai RM60,000. Saya tak tahu dari mana dia dapat amaun tersebut.

"Kami memberitahunya yang jumlah kami peroleh daripada penaja untuk semua pemenang pingat cumalah RM55,000. Kami sudah terangkan perkara itu kepadanya, jika dia masih tidak yakin, dia boleh mendapatkan penjelasan daripada kami sebelum menyiarkan apa-apa di media sosial.

"Mengatakan kami menipu adalah satu tuduhan serius dan mengundang fitnah. Ia menjejaskan imej kami yang bekerja keras mendapatkan tajaan," ujar Shahriman pada Khamis.

Kata Shahriman, perkara tersebut akan dibawa kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan MPM mahu menggantung Liek Hou.

Dalam perkembangan lain, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertikai tindakan MPM yang ingin mengambil tindakan disiplin terhadap Liek Hou.

Kata Hannah, tindakan Liek Hou itu tidak melanggar garis disiplin seorang atlet, malah mempertikai kesalahan dilakukan MPM sendiri hingga berlakunya pertikaian.

Liek Hou juga tidak tertakluk kepada MPM semata-mata sebaliknya dia adalah atlet di bawah BAM.

"Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin. Beliau hanya menuntut apa yang dijanjikan kepadanya setahun selepas memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024. Ini bukan isu disiplin tetapi berpunca daripada kelewatan MPM sendiri.

"Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Apa-apa keputusan mengenai kedudukan Liek Hou bukan di tangan MPM semata-mata. MPM tidak berhak bertindak sendiri," ujarnya. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram