
KUAT khabar angin di media sosial mengatakan jurulatih dari Indonesia, Hendrawan akan membimbing pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam masa terdekat.
Ini selepas pemain profesional tersebut akan berpisah dengan pengendali semasanya, Wong Tat Meng pada penghujung Disember selepas kontraknya tidak lagi disambung.
Ura-ura itu juga kedengaran selepas kontrak Hendrawan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah berakhir setelah kira-kira 15 tahun menabur bakti dalam perkembangan sukan itu.
BACA LAGI: Kontrak tak disambung lepas 15 tahun berkhidmat, Hendrawan akan tinggalkan BAM akhir Oktober
BACA LAGI: Sentiasa ada setiap waktu, Hendrawan sebahagian kejayaan, kesedihan Datuk Lee Chong Wei
Tat Meng (kanan) menghabiskan masa lebih setahun bersama Zii Jia.
Kedua-dua mereka sebelum ini pernah bergandingan ketika Zii Jia masih berada di bawah BAM dengan laporan mengatakan hubungan mereka cukup baik, baik di dalam mahupun di luar gelanggang.
Jadi, dengan pemain berusia 26 tahun itu sedang sibuk melakukan persiapan menjelang saingan tahun depan, kehadiran seorang jurulatih berkaliber amat diharapkan semua pihak, terutamanya dalam kalangan peminat.
Berdasarkan laporan terkini, Tat Meng dan Zii Jia akan berpisah secara rasmi selepas tamatnya kempen Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 yang bakal diadakan di Hangzhou, China bermula minggu depan.
Saingan tersebut sudah tentu diharapkan dapat menghadiahkan kenangan manis buat kedua-dua mereka yang sudah bergandingan sejak Julai 2023 dengan kejayaan pingat gangsa pada temasya Olimpik Paris tahun ini merupakan kemuncaknya.
Selepas itu, Zii Jia yang kini berada di kedudukan ketujuh dunia bersama pasukannya akan mencari jurulatih baharu dengan nama Hendrawan adalah antara yang terbaik dan sesuai.
Pengendali berusia 52 tahun tersebut tidak asing lagi dalam arena badminton tanah air kerana pernah membimbing lambakan pemain perseorangan terkenal, termasuk Datuk Lee Chong Wei dan Zii Jia sepanjang tempohnya bersama BAM. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram