Bekas mentor Lee Zii Jia kritikal, nahas babit 2 motosikal di Sydney


  • Podium
  • Khamis, 11 Sep 2025

Tat Meng kini bertarung nyawa selepas kemalangan motosikal yang serius di Sydney pada Ahad.

BEKAS jurulatih Lee Zii Jia iaitu Wong Tat Meng kini sedang bertarung nyawa selepas terlibat dalam kemalangan motosikal serius di Sydney, Australia pada Ahad.

Menurut hantaran daripada laman Facebook, Badminton Highlights, dua buah motosikal telah bertembung dan salah seorang penunggang maut di lokasi kejadian di Putty Road, kawasan Garland Valley.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penunggang kedua iaitu seorang lelaki berusia 58 tahun, telah menerima rawatan awal daripada paramedik ambulans New South Wales di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

BACA LAGI: Bukan beregu biasa-biasa, badminton simbol gandingan pelbagai kaum berpadu tenaga demi Malaysia

BACA LAGI: Goh Lui Ying fokus cungkil permata baharu badminton, percaya Malaysia di landasan terbaik

Memetik laporan NST, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih James Selvaraj mengesahkan bahawa Tat Meng kini dalam rawatan rapi. 

Tat Meng memainkan peranan penting dalam membantu pemain bebas Lee Zii Jia memenangi pingat gangsa perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris tahun lepas sebelum berhenti kerja dan berpindah ke Sydney untuk menjadi jurulatih kelab.

Selain itu, beliau sebelum ini melatih pasukan badminton kebangsaan Hong Kong dan Korea Selatan.

Tat Meng juga pernah dua kali berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu ketika sebagai jurulatih untuk kedua-dua pasukan perseorangan lelaki dan wanita dari 2003 hingga 2011 dan 2013 hingga 2016. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram