Tindakan FIFA tak adil, kebangkitan Harimau Malaya mustahil tanpa sentuhan TMJ — Liridon


  • Podium
  • Selasa, 30 Sep 2025

Liridon yang beraksi sebanyak tujuh kali buat Harimau Malaya membuktikan kecintaan terhadap pasukan itu masih mekar. — Facebook/FAM

NASIB Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sedang merayu ke atas hukuman FIFA masih menjadi bualan hebat dengan keputusan akhir hanya akan diketahui pada Isnin depan.

Tindakan badan induk bola sepak antarabangsa itu diambil selepas mendapati dokumen tujuh pemain warisan dipalsukan meskipun proses permohonan mengikut prosedur.

Malah, FAM turut mengakui terdapat kesilapan atas isu berkenaan dengan organisasi tempatan itu menunggu penghakiman akhir dari FIFA sebelum membuat rayuan.

BACA LAGI: 'Khidmat tak lagi diperlukan HM, tak salah Liridon sertai skuad futsal kebangsaan'

BACA LAGI: [VIDEO] Rembatan kencang Liridon meliar, rupanya ada mesej tersembunyi

Hukuman dikenakan FIFA ke atas FAM sememangnya mencalarkan imej organisasi itu. Facebook/FAM

Isu tersebut memberi pelbagai kesan, terutamanya terhadap ketujuh-tujuh pemain berkenaan yang bukan sahaja perlu membayar denda, malah tidak dapat beraksi untuk 12 bulan.

Tidak cukup dengan itu, hukuman FIFA menyaksikan imej bola sepak negara tercalar di mata dunia selepas peminat dan media sekitar Asia Tenggara heboh memperkatakan perkara berkenaan.

Kes itu turut mencuri perhatian bekas pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi yang memberi pandangan peribadi berhubung perkara berkenaan.

"Apa yang berlaku ketika ini berhubung keputusan FIFA ke atas skuad kebangsaan kita adalah tidak adil. Ia menunjukkan rasa tidak hormat ke atas negara, pemain, penyokong dan tempoh bertahun-tahun dihabiskan untuk membangunkan bola sepak.

Luahan dikongsikan Liridon menerusi hantaran di Instastory peribadinya.

“Malaysia membuat segala perkara dengan betul. Setiap dokumen, prosedur dan langkah dipatuhi dengan kerjasama pihak kerajaan, FAM dan FIFA sendiri. Para pemain sudah pun diluluskan. Sekarang tiba-tiba keputusan diubah? Kenapa? Oleh siapa?" soalnya.

Persoalan dan kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di Instastory peribadi milik Liridon yang sudah tentu risau akan nasib Harimau Malaya sementara menunggu penghakiman penuh dari FIFA.

Pemain tengah itu diberikan status naturalisasi pada 2020, namun hanya mencipta debut buat skuad kebangsaan pada tahun berikutnya ketika berdepan Bahrain.

Dalam pada itu, dia turut menyanjung impak dibawa Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi nadi utama di sebalik kebangkitan pasukan negara.

Liridon dikurniakan status naturalisasi pada 2020 selepas memenuhi syarat ditetapkan. Facebook/FAM

"Setiap kemajuan ditonjolkan ini mustahil untuk dilihat tanpa pengaruh Tunku Ismail. Secara peribadi, saya sedar betapa besar usaha dicurahkan terhadap liga dan skuad kebangsaan.

"Tetapi, apa yang juga menyedihkan adalah ketika saat begini, penyokong tidak bersatu. Ini bukannya masa untuk berpecah, inilah waktu untuk kita berganding bahu dan bersama-sama," tulisnya lagi.

Sepanjang bersama Harimau Malaya, Liridon hanya sempat merekodkan tujuh penampilan dengan satu gol sempat dijaringkan dalam aksi persahabatan menentang Singapura.

Usia semakin lanjut dan gaya permainan berbeza menyaksikan pemain kelahiran Kosovo itu tidak dapat beraksi dengan kerap selepas kali terakhir diturunkan menentang Brunei pada Mei 2022. 

Meskipun peluangnya terhad, luahan tersebut membuktikan Liridon masih mempunyai kecintaan sejatu buat Harimau Malaya dengan perasaan sebegitu perlu ditonjolkan peminat secara keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram