
SATU ketika dahulu, nama Liridon Krasniqi mekar di bibir peminat bola sepak tanah air kerana dia menjadi antara pemain awal diberikan status naturalisasi pada 2020.
Bagaimanapun, keghairahan penyokong menyaksikannya bersama skuad kebangsaan tidak berpanjangan apabila kehadirannya gagal membawa sebarang impak positif seperti mana diharapkan.
Dia yang kerap memperlahankan tempo pasukan dikatakan membawa pembaziran sehingga akhirnya hanya diberi enam penampilan Harimau Malaya kerana lebih ramai pemain tempatan berkualiti.
BACA LAGI: [VIDEO] Rembatan kencang Liridon meliar, rupanya ada mesej tersembunyi
BACA LAGI: [VIDEO] Beraksi di Liga Jerman, Liridon kini dapat sentuhan legenda AC Milan
Kali terakhir Liridon mewarnai Liga Super adalah bersama skuad Sang Penyu dua tahun lalu. — Facebook/Terengganu FC
Malah, reputasinya yang terkesan sejak menerima status naturalisasi turut menyaksikannya khidmatnya tidak dimahukan mana-mana kelab tanah air selepas kali terakhir beraksi buat Terengganu FC pada 2023.
Menyedari bakatnya semakin dilupakan, Liridon mengambil langkah drastik kira-kira dua tahun lalu apabila menceburi sukan futsal amatur yang dianjurkan di Jerman.
Baru-baru ini, pemain berusia 33 tahun itu kelihatan beraksi buat pasukan dibarisi bintang liga semi-pro Jerman tersebut berdepan pasukan dari United Kingdom (UK) yang berakhir dengan kemenagan 10-1.
Liridon yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal, namun mempunyai kemahiran menggelecek bola tidak mempunyai masalah di dalam gelanggang dengan gaya permainannya memukau penonton di media sosial.
Keunggulan dipamerkan pemain yang turut dikenali sebagai Mat Don itu sekali gus menimbulkan persoalan, adakah bakatnya wajar dimanfaatkan pasukan futsal negara?
Liridon memilih untuk menceburi sukan futsal selepas bertahun-tahun aktif di atas padang.
Teka-teki itu mudah dijawab jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin yang berpandangan kebolehan pemain berkenaan boleh digunakan di dalam gelanggang daripada terus dibazirkan.
"Kita sedia maklum bahawa Liridon merupakan pemain naturalisasi kita, tetapi dia tidak lagi beraksi di atas padang kerana lebih menumpukan perhatian terhadap sukan futsal.
"Ramai juga tahu dia merupakan seseorang yang mempunyai skil tersendiri dengan bola di kakinya. Jadi, saya percaya sekiranya pasukan futsal negara memerlukan khidmatnya, mereka boleh menggunakannya," katanya kepada Majoriti.
Kebolehan Liridon disaksikan sepanjang kira-kira lima tahun dia beraksi buat Kedah FA sebelum berkelana ke Melaka United FC dan akhirnya ke Johor Darul Ta'zim (JDT).
Skuad futsal negara pasti dapat memanfaatkan bakat dan kelebihan dimiliki Liridon di dalam gelanggang. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, sepanjang berada di Selatan tanah air, pemain berkenaan kerap diletakkan di bangku simpanan dengan minit terhad itu menyaksikan kebolehan dan kecergasannya semakin merudum.
Penyelesaian terbaik terhadap situasi itu adalah dengan menceburkan diri dalam sukan futsal dengan kelab pertama disertainya merupakan Gonrgy Allstars dalam Ballers League.
Sekiranya bakatnya terus digilap, skuad futsal negara boleh menggunakan khidmatnya, namun Sulaiman percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih memerlukan perancangan jangka masa panjang.
"Saya fikir dalam era moden, kita perlu bersedia untuk berubah dan menerima pemain yang layak mewakili negara. Ini kerana dalam masa sama, ia mampu melonjak semangat pemain tempatan supaya bekerja lebih keras.
"Tetapi, apa-apa sekali pun dilakukan, kita perlu ada perancangan. Contohnya, langkah diambil untuk jangka masa pendek perlu disertai apa sasaran masa panjang kerana jika tidak ditetapkan, tiada gunanya juga," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram