Tiga pemain JDT dilarang beraksi sepanjang tempoh penggantungan FIFA — MFL


  • Podium
  • Isnin, 29 Sep 2025

Tiga pemain warisan yang mewakili skuad Harimau Selatan tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan FIFA.

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia selepas digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

MFL berkata, pengesahan itu dibuat selepas menerima makluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan badan induk dunia tersebut yang turut membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

"MFL mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

BACA LAGI: 'Fokus pemain sedia ada', reaksi Xisco Munoz isu ketiadaan 3 pemain warisan

BACA LAGI: Usah bimbang fans JDT, 3 pilihan sedia ada boleh pikul tugas bintang digantung FIFA

“Berdasarkan keputusan FIFA, tiga pemain JDT berkenaan tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.

“Tindakan susulan hanya akan diambil MFL selepas keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan trio skuad Harimau Selatan berkenaan mengikut jejak pemain warisan lain iaitu Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Facundo Garces yang tidak dibenarkan beraksi untuk kelab masing-masing kerana berdepan penggantungan sama.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram