[VIDEO] Gol awal 5 tahun lepas mampu dorong Safawi hapus badi 'tumpul' robek gawang negeri kelahiran


  • Podium
  • Sabtu, 27 Sep 2025

Safawi (tengah) muncul sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super selepas lima aksi dilalui dengan merekodkan lima gol. — Facebook/klcityfc

PEMAIN sayap Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid bakal menjadi tumpuan apabila pasukannya akan berdepan negeri kelahirannya, Terengganu FC dalam aksi Liga Super yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Safawi yang kini menyarung jersi skuad Warga Kota secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi musim 2025/26, pastinya mahu melakar sejarah peribadi apabila berdepan bekas pasukan yang pernah disertainya musim lalu.

Untuk rekod, Safawi dipinjamkan ke Terengganu FC pada musim 2024/25 dan mempamerkan prestasi cemerlang bersama Sang Penyu dengan 18 jaringan dan empat bantuan gol dalam 36 penampilan.

BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT

BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super

Namun, pertemuan menentang Terengganu kali ini dijangka penuh emosi dan cabaran, apatah lagi Safawi kali terakhir menjaringkan gol ke atas pasukan itu adalah lima tahun lalu iaitu pada musim 2020.

Ketika itu, Safawi menjadi wira JDT apabila meledak gol kemenangan seawal minit keenam, sekali gus membantu Harimau Selatan menewaskan Terengganu FC 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Sejak detik itu, tiada lagi jaringan yang dihasilkan Safawi menentang Sang Penyu, meskipun beberapa kali diturunkan dalam perlawanan menentang skuad Pantai Timur itu.

Meskipun pernah dipinjamkan selepas itu ke Ratchaburi FC di Thailand, Safawi sebenarnya diturunkan sebanyak empat kali selepas kali terakhir mencetak gol itu, namun tidak pernah berada dalam kesebelasan utama.

Safawi (kanan) muncul sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super selepas lima aksi dilalui dengan merekodkan lima gol. Facebook/klcityfc

Sentuhannya yang dilihat ‘tumpul’ ketika menentang Terengganu sebelum ini memberi motivasi tambahan buat pemain berusia 28 tahun itu untuk menamatkan kemarau gol peribadinya ke atas kelab dari Pantai Timur itu.

Kini bergelar tonggak penting The City Boys Safawi dijangka mahu menjadikan pertembungan tersebut sebagai medan kebangkitan dan mungkin juga satu 'pembalasan' manis ke atas pasukan kelahirannya.

Sumbangannya amat penting dalam perlawanan akan datang bagi membantu KL City FC mengukuhkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super dan sekali gus melayakkan pasukan ke pentas Asia musim depan.

Adakah Safawi mampu mengulangi sentuhan berbisa lima tahun lalu dan mencetak nama sebagai pemusnah Sang Penyu?

Sama-sama kita nantikan aksi panas di pentas Liga Super hujung minggu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram