[VIDEO] Tujuh pelajar IKBN Miri digantung seminggu akibat gurauan melampau


  • Massa
  • Khamis, 25 Sep 2025

Tangkap layar sekumpulan pelatih lelaki IKBN Miri mengangkat seorang rakan dalam keadaan kaki terkangkang dan menghentaknya ke tiang.

TUJUH pelajar lelaki Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dikenakan tindakan gantung persekolahan selama seminggu selepas terbabit dalam gurauan melampau yang menyerupai perbuatan buli seperti yang tular dalam sebuah rakaman video baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN yang berlangsung pada Rabu memutuskan untuk menggantung pengajian mereka selain menghentikan elaun secara serta-merta, lapor Buletin TV3. 

Menurutnya, pelajar terbabit juga perlu melaksanakan kerja amal, lapor diri secara berkala dengan pegawai disiplin dan dikenakan tahan ‘outing’ selama sebulan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden gurauan melampau di IKBN Miri, mangsa dan bapa enggan teruskan tindakan undang-undang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tangkap saja kalau buat hal', wanita Indonesia malu perangai kurang ajar 'content creator' di Malaysia

"Mangsa termasuk pelajar terbabit juga diwajibkan mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Khamis. 

Jumaat lalu, tular rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan dalam keadaan kaki terkangkang lalu menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai kemungkinan ia kes buli.

Hannah menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius insiden berkenaan kerana gurauan keterlaluan sama sekali tidak boleh diterima.

Menurutnya, meskipun ada yang menganggap ia sekadar gurauan, budaya sedemikian tidak sihat dan bercanggah dengan nilai yang sepatutnya diterapkan di institusi pendidikan.

Beliau menambah, KBS kekal tegas bahawa sebarang kelakuan melampau tidak boleh dipandang remeh kerana pusat pengajian harus menjadi persekitaran yang selamat, berintegriti dan kondusif dalam membentuk sahsiah belia.

“Antara langkah pencegahan yang diputuskan termasuk pemantauan lebih kerap oleh Unit Hal Ehwal Pelajar, sesi motivasi, serta kaunseling berterusan dengan bantuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, seorang Pegawai Perhubungan Institut akan dilantik untuk melaksanakan program pencegahan keganasan dan buli dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk penganjuran sesi ceramah setiap suku tahun.

Hannah turut memaklumkan bahawa kemudahan peti aduan akan diperluaskan bagi memudahkan pelajar menyalurkan aduan atau maklumat dengan lebih cepat dan berkesan.

"Keputusan ini diambil bagi memastikan kes seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram