Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Meskipun menamatkan saingan sebagai tiga pasukan terbaik Liga Super musim lalu, Sabah FC kini dilihat bergelut untuk meraih kemenangan pertama musim ini selepas empat perlawanan berlangsung. — Facebook/sabahfc

SAINGAN Liga Super musim 2025/26 semakin mencabar apabila lima pasukan masih gagal meraih kemenangan pertama walaupun sudah empat perlawanan berlangsung.

Pasukan tersebut ialah Melaka FC, Sabah FC, Imigresen FC, Penang FC, dan Brunei DPMM FC.

Bagi pendatang baharu seperti Imigresen FC dan Brunei DPMM FC, prestasi sebegini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mungkin masih menyesuaikan diri dengan tahap persaingan yang tinggi dalam Liga Super.

Untuk rekod, Imigresen FC kini merekodkan dua seri dan dua kekalahan, manakala Brunei DPMM FC pula satu seri dan tiga kekalahan.

BACA LAGI: 'Kami tahu penyokong kecewa’, bek Selangor harap aksi lawan Tampines Rovers pengubat hati fans

BACA LAGI: Tiba masa Zach Clough ditepikan, beri minit lebih buat 2 bintang Selangor mula bersinar

Penang FC masih belum meraih sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super selepas mengharungi lima perlawanan. Facebook/penangfc

Namun, yang lebih membimbangkan adalah prestasi pasukan yang sudah lama bertapak dalam liga termasuk Sabah FC dan Penang FC.

Sabah, yang merupakan antara tiga pasukan terbaik musim lalu kini hanya mengumpul tiga seri dan satu kekalahan selepas empat perlawanan, termasuk kekalahan memalukan 0-8 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini.

Skuad The Rhinos setakat ini hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kuala Lumpur City FC pada 13 Ogos dan Melaka FC (29 ogos) serta seri tanpa jaringan ketika bertemu Kelantan United pada 23 Ogos lalu.

Keputusan itu jelas mengecewakan penyokong The Rhinos yang mengharapkan corak permainan lebih mantap daripada pengendali baharu dari Australia, Jean-Paul de Marigny.

Sementara itu, Penang FC pula masih bergelut dengan prestasi buruk mereka dengan hanya satu seri dan empat kekalahan.

Skuad Harimau Kumbang mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Melaka FC, namun mengalami kekalahan besar 0-6 kepada skuad Harimau Selatan.

Pendatang baharu Liga Super, Brunei DPMM FC, masih tercari-cari rentak permainan dalam saingan Liga Malaysia. — Facebook/dpmmfc

Untuk rekod, Penang hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang Melaka FC pada 13 Ogos lalu, manakala baki perlawanan menyaksikan mereka terpaksa menelan empat kekalahan berturut-turut iaitu ketika tewas 0-3 kepada Terengganu FC (10 Ogos), 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC (24 Ogos) dan 0-1 kepada Kelantan The Real Warriors (30 Ogos).

Melaka FC juga belum menunjukkan peningkatan ketara walaupun mencatat tiga seri dan satu kekalahan, menandakan mereka masih dalam proses mencari rentak kemenangan di bawah kendalian K. Devan.

Keadaan tersebut menimbulkan persoalan tentang keberkesanan strategi dan kesiapsiagaan barisan jurulatih serta pemain dalam menghadapi persaingan sengit Liga Super musim ini.

Kegagalan untuk mengutip mata penuh bukan sahaja menjejaskan kedudukan mereka dalam carta liga, malah memberi tekanan tambahan bagi memastikan kelangsungan saingan mereka musim ini.

Setiap pasukan perlu segera memperbaiki prestasi dan mengatur strategi yang lebih efektif agar dapat bersaing dengan lebih baik dan mengelakkan daripada terus terjerumus ke zon bahaya dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram