
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyasarkan pengharaman penuh terhadap rokok elektronik dan vape menjelang pertengahan 2026, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly berkata, penetapan garis masa itu dibuat berdasarkan dapatan jawatankuasa pakar yang telah memberikan cadangan berhubung isu berkenaan kepada KKM.
“Kami mengambil pendekatan berperingkat. Usaha ini akhirnya adalah untuk mengharamkan vape secara menyeluruh. Namun, saya tidak boleh mendahului keputusan Kabinet,” katanya.
BACA LAGI: Tak selamat diduduki, Klinik Kesihatan Kuala Tahan ditutup
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. — The Star
Sementara itu, Dr Dzulkefly turut menegaskan, pihaknya komited melindungi kesihatan awam khususnya generasi muda yang kini menjadi pengguna terbesar rokok elektronik dan vape di negara ini.
Katanya lagi, satu jawatankuasa pakar telah pun memberikan syor mereka yang akan diperincikan lagi apabila memorandum akhir dibentangkan.
“Jawatankuasa pakar sedang meneliti perkara ini dengan lebih konkrit dan terperinci. Apabila memorandum dibentangkan, semua hujah akan dikemukakan,” jelasnya.
Pada 11 September lalu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa KKM sedang memuktamadkan memorandum kepada Kabinet mengenai cadangan pengharaman vape, namun maklumat lanjut tidak boleh didedahkan sehingga ia dibincangkan di peringkat Kabinet.
Menteri Kesihatan itu turut menjelaskan bahawa tempoh akhir pelaksanaan bergantung kepada kelulusan Kabinet, namun kementerian akan terus berusaha menetapkan had masa pengharaman tersebut pada pertengahan 2026.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan sekitar pertengahan tahun depan. Jika tidak, mungkin pada separuh kedua tahun 2026, tetapi kami pasti mahu mengharamkannya,” tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram