
TONGGAK pertahanan tengah Selangor FC, Richmond Ankrah memahami kekecewaan penyokong Gergasi Merah selepas dua kekalahan berturut-turut yang menimpa pasukannya baru-baru ini.
Kekalahan 2-4 kepada Bangkok United dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada 18 September serta kekalahan tipis 0-1 kepada Kuching City FC dalam Liga Super pada 21 September telah meletakkan Selangor di bawah tekanan.
Namun begitu, bek kelahiran Ghana berusia 25 tahun itu menegaskan bahawa pasukannya tetap bertekad untuk memperbaiki prestasi apabila mereka berdepan kelab Singapura, Tampines Rovers dalam perlawanan Kumpulan A Piala Shopee yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Rabu.
BACA LAGI: Tiba masa Zach Clough ditepikan, beri minit lebih buat 2 bintang Selangor mula bersinar
BACA LAGI: Seolah 'kebal' setiap kali diuji Jang Hobin, 'magis' Yusri Che Lah sekali lagi ditagih
Bek kental Selangor FC, Richmond Ankrah. — Facebook/selangorfc
“Perlawanan ini pasti sukar kerana kami sudah mengenali kekuatan mereka. Namun, kami telah berlatih keras sejak musim bermula.
“Selepas kekalahan menentang Kuching, semangat kami sedikit tergugat, tetapi kini kami bermain di laman sendiri dengan sokongan peminat di belakang kami. Dari segi mental, kami sudah bersedia. Harapnya, kami dapat meraih kemenangan dan menggembirakan mereka,” katanya.
Sebagai seorang pemain pertahanan, Richmond mengakui cabaran terbesarnya adalah untuk tidak membenarkan sebarang gol menembusi pintu gawang pasukan.
“Kami tahu peminat tidak berpuas hati dengan gol yang kami benarkan sebelum ini, dan saya faham perasaan mereka. Kali ini, kami harap dapat mengutip tiga mata penuh," tambahnya.
Selangor memulakan kempen mereka di pentas Asia dengan keputusan yang memberangsangkan apabila berjaya mengikat gergasi Thailand, Buriram United dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan pembukaan kumpulan awal bulan ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi berkata, pasukannya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok teratas setiap kejohanan yang disertai.
“Kami mahu mencapai kedudukan tertinggi dalam setiap kejohanan. Jika hanya bermain di peringkat domestik, tahap pasukan akan kekal sama. Bersaing dalam kejohanan sebegini membolehkan kami menguji kekuatan dengan kelab-kelab lebih hebat di rantau ini.
“Kita perlu bertemu pasukan yang lebih kuat untuk menjadi lebih baik. Ini adalah peluang untuk membina kelab,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kecergasan pemain, Kinoshi mengesahkan Quentin Cheng dan Aliff Izwan Yuslan kemungkinan besar terlepas aksi kerana masalah kecergasan, namun pengendali kelahiran Jepun itu tidak risau dengan situasi tersebut.
“Tampines Rovers mempunyai barisan pemain yang baik, termasuk beberapa pemain Jepun yang saya kenal rapat. Tetapi kami akan berjuang habis-habisan demi peminat.
"Tekanan sentiasa ada, namun ia adalah tanggungjawab saya untuk membantu pasukan menghadapinya,” kata Kinoshi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram