[VIDEO] Ibu pelancong Australia terkejut mayat anak diterima tanpa jantung, hospital Bali nafi curi organ


  • Benua
  • Khamis, 25 Sep 2025

Menurut laporan, jantung Haddow ditahan untuk menjalani ujian patologi tambahan dan bukan disimpan atas sebab yang tidak baik. — Gambar hiasan

SEBUAH hospital di Bali menafikan dakwaan mencuri organ seorang pelancong Australia dan menjelaskan bahawa jantung mangsa telah dihantar ke Queensland selepas menjalani prosedur forensik berasingan.

Byron Haddow, 23, ditemui meninggal dunia di dalam kolam renang vila sewanya di Bali pada 26 Mei lalu.

Mayatnya dihantar pulang ke Australia kira-kira sebulan kemudian, namun hasil bedah siasat kedua mendapati jantungnya tiada sekali gus mencetuskan persoalan dan kemarahan ahli keluarga.

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden gurauan melampau di IKBN Miri, mangsa dan bapa enggan teruskan tindakan undang-undang

BACA LAGI: Sasar haramkan vape sepenuhnya pertengahan 2026 — KKM

Bagaimanapun, Hospital Prof Ngoerah di Denpasar, Bali yang melakukan bedah siasat awal atas permintaan polis Bali menafikan sebarang salah laku.

“Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin mengenai pencurian organ adalah tidak benar,” kata Dr I Made Darmajaya yang merupakan Pengarah Perubatan hospital berkenaan.

Menurutnya, jantung Haddow ditahan untuk tujuan ujian patologi tambahan dan bukan disimpan atas sebab yang tidak baik.

“Proses ini dijalankan mengikut undang-undang dan prosedur forensik. Organ tersebut dihantar lewat kerana perlu melalui persiapan tertentu untuk analisis lanjut,” jelasnya.

Di samping itu, pakar patologi forensik, Dr Nola Margaret Gunawan yang menjalankan bedah siasat pertama turut menolak dakwaan kecuaian.

“Jantungnya 'ditahan' bagi tujuan analisis forensik apabila mayat dihantar pulang. Saya sudah berikan penjelasan penuh kepada keluarga, dan mereka telah menerimanya,” katanya.

Namun, laporan media Australia menyebut bahawa ibu mangsa, Chantal Haddow terkejut apabila dimaklumkan organ anaknya masih berada di Bali.

“Saya fikir saya sudah cukup sedih, tetapi ini satu tamparan hebat. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena," katanya kepada Channel Nine.

Peguam keluarga, Ni Luh Arie Ratna Sukasari mengesahkan bahawa jantung Haddow telah dihantar ke Queensland pada Ogos iaitu lebih dua bulan selepas kematiannya.

Beliau menyifatkan kes tersebut menimbulkan 'persoalan serius' tentang prosedur forensik dan amalan perubatan di Bali.

“Apa yang berlaku kepada Byron Haddow adalah isu serius dari segi undang-undang, etika dan kemanusiaan,” katanya.

Byron Haddow (kanan) ditemui meninggal dunia di dalam kolam renang vila sewanya di Bali pada 26 Mei lalu. — Gambar hiasan

Laporan forensik mendapati dalam sistem badan Haddow terdapat alkohol dan duloxetine, sejenis ubat yang biasa digunakan untuk merawat kemurungan dan kebimbangan.

Pihak penyiasat percaya gabungan bahan tersebut mungkin menyebabkan kemerosotan tindak balas fizikal dan menghalangnya menyelamatkan diri apabila berada di dalam air.

Turut direkodkan beberapa kecederaan kecil seperti calar pada dahi, kelopak mata dan lutut, namun tidak cukup serius untuk menyebabkan kematian.

Laporan turut mengesahkan Haddow masih bernafas ketika tenggelam menunjukkan dia hidup sewaktu berada di dalam kolam.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia mengesahkan bantuan konsular diberikan kepada keluarga, namun enggan mengulas lanjut atas dasar privasi.

Peguam keluarga turut menggesa siasatan lebih mendalam terhadap kematiannya, termasuk aktiviti dan rekod kewangan Haddow sebelum kejadian berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram