
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tampil memberi penjelasan berhubung isu kewarganegaraan pemain naturalisasi yang kembali menjadi perhatian dunia bola sepak tempatan selepas keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa setiap keputusan pemberian kewarganegaraan dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
“KDN tak jaga bola. Kita cuma urus warganegara. Oleh itu saya kata, tindakan kita dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya pada Sabtu.
BACA LAGI: 'FAM dah ikut peraturan', TMJ persoal tindakan FIFA
BACA LAGI: Pemalsuan dokumen, 7 bintang warisan Harimau Malaya digantung
Menurutnya, keputusan FIFA yang dikenakan terhadap FAM, seperti dilaporkan media, adalah terkait dengan status kewarganegaraan beberapa pemain yang telah mendapat taraf kerakyatan Malaysia.
“Soal FIFA mengambil keputusan itu, itu urusan FIFA dengan FAM.
"Tetapi dari segi undang-undang, pemberian warganegara secara naturalisasi adalah di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Maksudnya, boleh atau tidak pemberian warganegara dilakukan di bawah peruntukan 19(1) dalam kes naturalisasi? Ya, boleh. Naturalisasi ini pula merujuk kepada individu yang sama ada bapa, ibu, datuk, nenek, moyang atau salasilah keluarganya pernah berasal dari Malaysia,” jelas beliau.
Saifuddin berkata, proses pemberian kewarganegaraan bukanlah mudah, sebaliknya sangat teliti dan melalui pelbagai peringkat semakan.
“Proses ini sangat teliti, berlapis dan dilakukan dengan penuh penelitian. Ketua Setiausaha (KSU) akan mempengerusikan peringkat catatan kuasa sebelum ia diangkat lebih jauh.
"Kita teliti semua dokumen, semuanya sekali seperti yang diperlukan mengikut undang-undang.
“Kesemua dokumen dikaji secara mendalam. Proses pemberian (status) warganegara ini satu proses yang sangat teliti. Kesemua dokumen dikemukakan perlu verifikasi.. kita ambil biometrik, temubual, sebab itu ambil masa begitu lama.
"Hanya selepas permohonan lengkap, barulah keputusan dibuat mengikut tertib serta peraturan undang-undang,” katanya.
Isu pemain naturalisasi kembali menjadi topik hangat selepas FIFA dilapor mengenakan tindakan terhadap FAM, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai status beberapa pemain skuad Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram