
HUKUMAN dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kesalahan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan mengundang respons dari peminat dari dalam dan luar negara.
Bagi peminat Harimau Malaya, tindakan diambil badan antarabangsa itu jelas mencalarkan reputasi dan imej skuad kebangsaan yang mengambil jalan pintas untuk bersaing.
Meskipun masih diberikan tempoh 10 hari untuk membuat rayuan, kenyataan tersebut sudah memberi impak cukup mendalam kerana kesalahan sedemikian cukup besar dan jarang terjadi.
BACA LAGI: Pemalsuan dokumen, 7 bintang warisan Harimau Malaya digantung
BACA LAGI: Skandal warisan FAM: Sumber dalaman dedah tak mustahil kemenangan ke atas Vietnam terbatal
FIFA mengenakan tindakan serius terhadap FAM berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan. — Agensi
Selain itu, hukuman berbentuk denda dan penggantungan itu turut menerima respons dari media dan peminat sekitar Asia Tenggara yang sudah tentu terkejut akan perkara terbabit.
Ini kerana pengambilan pemain warisan mahupun naturalisasi sudah kerap berlaku di rantau itu, namun semuanya dilakukan secara sah dan mengikut prosedur ditetapkan FIFA.
Malah, kes berkenaan turut menerima respons bekas import Liga Super, Patrick Reichelt yang mempunyai pandangan tersendiri berhubung isu terbabit.
Dalam ciapan di laman X peribadinya, pemain dari Filipina itu menyatakan tempoh dihabiskan di Malaysia menimbulkan tanda tanya akan keputusan mensia-siakan bakat tempatan.
Reichelt memberi pandangan peribadi berhubung kemelut FIFA dan FAM. — Facebook/KL City FC
"Saya terkejut kerana hal ini terdedah, tetapi saya tidak terkejut bahawa mereka bukan berdarah Malaysia. Saya yang beberapa tahun menetap di sana sudah jatuh cinta akan negara itu, tetapi sedih kerana prospek tempatan terus dibiarkan," tulisnya.
Penyerang berusia 37 tahun itu pernah beraksi selama semusim bersama Melaka United pada 2019 sebelum kembali ke Liga Malaysia empat tahun kemudian untuk menyertai Kuala Lumpur (KL) City FC.
Meskipun tidak pernah meninggalkan impak begitu besar, Reichelt sudah tentu dapat memahami budaya bola sepak tempatan kerana pernah berkongsi padang dengan lambakan pemain lokal berbakat.
Tidak terhenti di situ, penyerang berkenaan sempat mengusik peminat bola sepak tanah air kerana enggan menjawab status tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dikatakan berdarah Filipina.
Reichelt ketika ditanya mengenai status tiga pemain JDT yang dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Filipina.
Ini selepas pengguna X, Made in Mnl mempersoalkan sama ada Enzo Lombardo, Christian Glauder dan Oscar Arribas mempunyai pertalian darah dengan negara Asia Tenggara itu.
Bagaimanapun, Reichelt tidak memberikan sebarang jawapan kukuh apabila dia hanya meninggalkan emoji yang seakan-akan menyatakan terdapat hal disembunyikan.
Status Arribas pernah dipersoalkan peminat dan media dari negara itu pada 2023 kerana tidak pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad The Aztecs meskipun berada dalam prestasi terbaik buat skuad Harimau Selatan.
Bagi Glauder dan Lombardo pula, hal berkenaan tidak pernah dibangkitkan secara terbuka dengan semakan di laman sesawang menyatakan kedua-duanya layak menyarung jersi Filipina. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram