Hadirnya pemain naturalisasi tak gugat motivasi bakat tempatan, bola sepak Malaysia masih ada sinar


  • Podium
  • Isnin, 01 Sep 2025

Pelatih muda tempatan tidak pernah luntur semangat untuk mencari ruang karier dalam bola sepak.

JORDAN Mintah akhirnya mendapat kerakyatan Malaysia selepas lima tahun beraksi dalam Liga Super, sekali gus membuka peluang buat dirinya menjadi pemain naturalisasi buat Harimau Malaya.

Reputasinya sebagai penggempur amat dikagum setiap pasukan Liga Malaysia, apatah lagi kini dia beraksi buat Kuching City selepas berkelana beberapa kelab di Semenanjung.

Sebelum ini, Mintah mencipta nama bersama Terengganu FC sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur City FC dan akhirnya membawa diri ke kelab Borneo pada dengan rekod cemerlang iaitu 15 gol dalam 22 perlawanan.

BACA LAGI: [VIDEO] Baru injak usia 2 tahun, UniSZA Soccer Kids Academy sudah pikat JDT, NFDP

BACA LAGI: UniSZA julang Pantai Timur, cipta sejarah anjur kejohanan antarabangsa bola sepak peringkat akar umbi

Dengan status terkini Mintah itu, Malaysia secara keseluruhannya telah menaturalisasikan sembilan pemain selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Di sebalik 'hadiah' manis itu diumumkan saat Malaysia menyambut bulan Kebangsaan, isu naturalisasi sentiasa meniti di bibir peminat bola sepak tanah air yang bimbang bakat tempatan akan tenggelam dengan lambakan pemain 'import' dalam skuad negara.

Pulangan yang diharapkan belum tentu menjadikan kemenangan dan tidak keterlaluan dikatakan lapan pemain naturalisasi sebelum ini belum memberi impak yang didahagakan penyokong.

Jordan Mintah menjadi pemain naturalisasi kesembilan negara. — Agensi

Sebaliknya, ramai mengharapkan program pembangunan bakat diteruskan atau ditambah baik bagi memastikan skuad negara mampu dikemudi dengan baik oleh anak tempatan tanpa perlu bergantung kepada pemain luar.

Malah lambakan pemain naturalisasi dikhuatiri akan menghakis minat anak muda untuk menceburi bidang bola sepak dan beralih ke sukan lain.

Menjawab keresahan itu, Ketua Jurulatih UniSZA Soccer Kids Academy, Mohd Norhisham Hassan tidak menolak kemungkinan wujud baik dan buruknya dengan langkah menaturalisasikan pemain luar.

Baginya, inisiatif naturalisasi itu sesuai untuk tempoh jangka pendek demi menaikkkan ranking dan mendapat keputusan yang baik.

"Tapi bagi jangka masa panjang, perlu ada 'back-up' daripada bakat tempatan.

Norhisham sentiasa yakin dengan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dengan pemain luar.

"Pelatih (pemain muda) kita masih berminat dan bersemangat selagi kita tawarkan khidmat untuk menggilap bakat mereka dari kecil.

"Sebagai jurulatih, saya ada keinginan nak lahirkan pemain berbakat untuk bersaing dengan pemain naturalisasi pada masa akan datang.

"Alhamdulillah, bakat tempatan kita tak pernah luntur semangat dan ada kemahuan tinggi untuk bersaing," kata bekas pemain kebangsaan dan Terengganu FC itu.

Sependapat dengan Norhisham, Ahmad Rizal Abdul Rahim berkata, Malaysia masih mengutamakan pembangunan di peringkat akar umbi dengan lambakan platform untuk anak muda ini menyerlah.

Jelas Ketua Jurulatih Akademi Young Titans itu, setiap pemain memiliki banyak peluang untuk menonjolkan bakat sebelum sampai ke tahap tertinggi iaitu beraksi di Liga Super.

"Kita ada sekolah sukan negeri dan Malaysia, kita juga ada piala belia dan piala presiden untuk bakat lokal kita menonjolkan kemahiran mereka," katanya.

Ahmad Rizal teruja dengan semangat anak tempatan yang memberi komitmen dalam setiap latihan.

Ahmad Rizal berkata, kehadiran pemain naturalisasi dan warisan sebenarnya membakar semangat pelatih muda untuk menjadi pemain yang lebih hebat seperti yang ditunjukkan pelatih di akademinya.

"Pelatih tempatan ini ada motivasi tinggi untuk bangkit melawan, kembangkan lagi bakat dan berusaha keras untuk mendapat tempat.

"Jadi tidak mustahil, pemain tempatan boleh bersaing dengan pemain naturalisasi," katanya sambil menambah sambutan anak muda untuk menyertai akademinya tetap tinggi setiap tahun, menunjukkan minat akar umbi dalam bola sepak tidak pernah luntur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram