[VIDEO] Rindunya skuad Lang Merah 2017, siap bolot 8 ABK apatah lagi dapat kalahkan JDT


  • Podium
  • Ahad, 21 Sep 2025

Tahun 2017 dianggap salah satu era emas Hijau Kuning apabila mereka bukan sahaja menawan Piala FA tetapi turut menjulang Piala Sumbangsih.

KENDATIPUN nama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini dikaitkan dengan hukuman penggantungan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), memori kegemilangan skuad Lang Merah pada musim 2017 masih segar dalam lipatan sejarah bola sepak tempatan.

Musim itu dianggap salah satu era emas Hijau Kuning apabila mereka bukan sahaja menawan Piala FA dan menjulang Piala Sumbangsih, malah turut mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 dengan membawa pulang lapan trofi utama sekali gus mencatat rekod paling banyak kemenangan.

Aksi penuh dramatik pada Januari 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat Larkin, Johor menyaksikan Kedah menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti bagi merebut Piala Sumbangsih, sekali gus membuka tirai musim dengan penuh bergaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

Tidak berhenti di situ, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe terus mengukir nama apabila menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam dekat Shah Alam, Selangor sekali gus menjulang Piala FA buat kali keempat dalam sejarah kelab.

(Dari kiri)  Liridon dan Baddrol (tengah) ketika Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017. — Facebook KDA Fans

Di pentas individu, kapten Baddrol Bakhtiar mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) selain menggondol gelaran Pemain Tengah Terbaik serta Penjaring Tempatan Liga Super dengan sembilan gol. 

Turut menyerlah, Liridon Krasniqi dipilih Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular, manakala Rizal Ghazali menerima anugerah Pemain Pertahanan Terbaik.

Bakat muda, Akhyar Rashid turut diangkat sebagai Pemain Muda Harapan, sementara penjaga gol muda, Ifwat Akmal Chek Kassim melakar kejutan apabila dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik.

Kejayaan itu dilengkapkan dengan pengiktirafan Jurulatih Terbaik buat Cheng Hoe, serta anugerah Penyokong Terbaik dan Pasukan Terbaik yang menjadi milik Kedah.

Stadium Darul Aman hampir setiap minggu dibanjiri lautan hijau kuning, membuktikan semangat luar biasa penyokong yang menjadi nadi di sebalik kejayaan. 

Gabungan corak permainan moden, barisan pemain berwibawa dan sokongan padu penyokong menjadikan Helang Merah benar-benar berada dalam kelas tersendiri.

Tahun 2017 kekal sebagai simbol era kegemilangan Helang Merah, musim yang bukan sahaja meninggalkan angka dan trofi, tetapi memahat Kedah dalam kelas tersendiri sebagai pasukan digeruni bola sepak Malaysia.

Detik gemilang berkenaan boleh berulang jika KDA FC yang kini bermain di saingan Liga A1 Semi Pro bermain bersungguh-sungguh mendapatkan tiga mata, selain penyokong juga perlu terus menunjukkan sokongan di saat zaman kejatuhan Sang Kenari ini. 

Untuk info, KDA FC yang kini dibawah bimbingan Azzmi Aziz berada pada tangga ke-13 liga dengan sekadar mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan daripada empat aksi diharungi mereka.

Walaupun bukan satu kedudukan memuaskan, tapi pujian wajar diberikan kepada pengurusan Hijau Kuning yang mempertaruhkan bakat muda untuk beraksi di saingan Liga A1 Semi Pro. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram