TFC-Persija Jakarta jalin kerjasama, misi gilap 'the next Bambang Pamungkas' antara 4 komponen


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Sheikh Farouk (dua dari kanan) dan M. Prapanca (dua dari kiri) ketika pertemuan rasmi TFC bersama pengurusan Persija Jakarta di ibu negara Indonesia, pada Selasa.

TERENGGANU Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan antarabangsa apabila mengadakan pertemuan rasmi bersama pengurusan Persija Jakarta di ibu negara Indonesia, pada Selasa.

Delegasi TFCSB diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai bersama Ketua Pegawai Operasi, Mohd Syahrizan Mohd Zain, manakala kelab dari Indonesia itu diwakili Presiden, M. Prapanca dan Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas.

Pertemuan tersebut membincangkan pelbagai aspek pembangunan bola sepak termasuk pembangunan bakat muda, pertukaran kepakaran kejurulatihan, penganjuran aksi persahabatan antarabangsa serta peluang komersial yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Apa sudah jadi Lira? Sedangkan bek JDT-Selangor pun sudah skor walaupun kali pertama beraksi Liga Super'

BACA LAGI:Hong Wan mungkin terpinggir, 3 bintang Liga M masih ada masa pikat hati Cklamovski

Menurut Sheikh Farouk, inisiatif ini perlu dilihat sebagai lembaran baharu dalam landskap bola sepak tempatan dengan membawa nilai persahabatan serantau serta potensi komersial yang lebih besar.

“Perjumpaan ini bukan sahaja membina jambatan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia, malah mampu memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Prapanca menyambut baik usaha berkenaan dan berharap kerjasama lebih konkrit dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Kami menghargai pertemuan ini yang membuka ruang lebih luas dalam pertukaran pengalaman, memajukan bakat muda dan menyatukan komuniti bola sepak ASEAN,” jelasnya.

TFCSB optimis kerjasama ini menjadi landasan kukuh dalam memperluaskan jaringan antarabangsa, selain mengukuhkan hubungan baik Malaysia–Indonesia menerusi bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram