Sejarah sudah buktikan, Tampines Rovers 2 kali bukan lawan mudah buat Gergasi Merah


  • Podium
  • Rabu, 24 Sep 2025

Selangor tumpas kedua-dua pertemuan mereka menentang Tampines Rovers pada 2016. — Agensi

SEJAK dulu, nama BG Tampines Rovers bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak Asia Tenggara.

Kelab Singapura itu adalah salah satu daripada kelab utama negara tersebut dan sering menjadi wakil di peringkat antarabangsa.

Musim ini tidak terkecuali apabila Tampines mewakili Singapura dalam saingan Piala Shopee dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

BACA LAGI: Lima jalan utama sekitar KL ditutup sempena Piala Sultan Selangor

BACA LAGI: Tatkala kelab lain terus ke depan, adakah Selangor masih tersangkut di takuk lama?

Mereka akan berdepan Selangor FC dalam Piala Shopee pada Rabu dengan kedua-dua kelab pernah bertemu sesama sendiri hampir sedekad lalu.

Sembilan tahun lalu, Selangor dan Tampines pernah diundi duduk dalam kumpulan yang sama dalam Piala AFC (kini ACL2) pada musim 2016.

Walaupun kelab Malaysia sering berjaya mengalahkan pasukan Singapura apabila bertemu, skrip itu tidak berlaku buat Selangor pada waktu tersebut.

Dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan E, Selangor gagal untuk menewaskan Tampines apabila mereka kecundang 0-1 di laman sendiri serta tempat lawan.

Pada aksi pertama di tempat sendiri pada 8 Mac, Selangor tewas hasil daripada jaringan Fazrul Nawaz pada minit ke-27.

Perkara sama berulang pada aksi di tempat lawan pada 10 Mei, apabila gol oleh Yasir Hanapi sudah cukup untuk mengalahkan Selangor di Kota Singa.

Sembilan tahun sejak pertemuan itu, kedua-dua kelab masih mengekalkan status sebagai antara kelab utama masing-masing dengan Tampines terutamanya menjadi pencabar terdekat kepada kuasa baharu bola sepak Singapura, Lion City Sailors.

Dengan Tampines sudah menaikkan tahap mereka, sudah pasti cabaran sukar menanti Selangor apabila mereka turun beraksi di hadapan penyokong sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram