
SELANGOR FC meneruskan rentak kurang menyakinkan di musim baharu selepas mereka tumbang 1-2 kepada Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super, Ahad lalu.
Kalah secara dramatik dengan memboloskan dua gol pada penghujung babak permainan, Selangor sebelum itu mempunyai banyak peluang namun ia gagal disempurnakan.
Lebih memeritkan, Selangor terus kempunan untuk melihat jaringan daripada penyerang utama mereka iaitu Willian Lira.
Sampai bila pertahanan nak ikat jamin?
Jika dilihat kepada persembahan Selangor di depan gol, ia boleh dikatakan agak mengecewakan kerana mereka sering melepaskan peluang untuk menggegar gawang lawan.
Lebih mengecewakan, setakat ini pemain pertahanan dilihat lebih tajam berbanding Lira di depan gol dengan pertahanan kiri, Kevin Deeromram sudah menghasilkan dua jaringan.
Deeromram sudah ada dua gol bersama Selangor.
Semasa bertemu Negeri Sembilan pula, gol tunggal Selangor terhasil menerusi jaringan Richmond Ankrah yang juga merupakan pemain pertahanan.
Situasi tersebut jelas merisaukan kerana apabila Lira tidak menjalankan tugas menjaringkan gol, sampai bila Selangor nak berharap pemain pertahanan merobek gawang lawan untuknya?
Kalamullah sudah beri sehabis baik
Satu perkara yang penyokong Selangor boleh menarik nafas lega adalah apabila melihat persembahan baik daripada penjaga golnya iaitu Kalamullah Al-Hafiz.
Persembahannya bertemu Buriram United dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup untuk memastikan Selangor tidak terlepas sebarang tiga mata.
Kalamullah (kiri) sudah beberapa kali menyelamatkan Selangor dari dibolosi lawan.
Namun, ia dikecewakan dengan ketumpulan serangan Selangor terutamanya menerusi Lira yang tidak memberikan banyak ancaman kepada pihak lawan berbanding Chigor Moraes dan Faisal Halim.
Impaknya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan Kalamullah yang beraksi cemerlang, hasil tukaran yang dilakukan melibatkan kedua-dua pemain tersebut jelas membawa pulangan kecil dan merugikan Selangor.
Mujur ada Chigor
Walaupun tumpulnya tidak boleh dibendung, namun Selangor bernasib baik mempunyai Chigor yang berjaya menawarkan dinamik berbeza dan kualiti yang sepatutnya penyerang ada kepada pihak lawan.
Golnya ketika bertemu Buriram disudahkan dengan baik selain semasa berdepan Negeri Sembilan, Chigor turut mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan baik.
Chigor (kiri) menjalankan tugasnya sebagai penyerang lebih baik berbanding Lira.
Nota Chigor mungkin dilihat lebih positif berbanding Lira, namun penyerang itu menyarung jersi nombor sembilan dan ia menyebabkan jangkaan tinggi diletakkan terhadapnya.
Masa semakin sunyuk untuk Lira baiki prestasinya, dengan perkembangan semasa pastinya penyokong Selangor semakin kurang sabar dengannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram