
SELANGOR FC mengumumkan kehadiran seorang lagi import baharu di jentera serangan dengan bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira menjadi pilihan kelab Lembah Klang itu.
Pemain yang sebelum ini beraksi buat Hatta Club di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sah menjadi rekrut ketiga skuad Gergasi Merah selepas mereka membawa masuk Picha Autra dan Chrigor Moraes selain menyerap Omid Musawi dari skuad simpanan.
Bagaimanapun, daripada semua nama-nama yang disenaraikan, perhatian penuh sudah tentu diberikan kepada Lira memandangkan dia satu-satunya import yang berpengalaman dalam Liga Super.
BACA LAGI: 'Willian Lira lebih bagus berbanding Ronnie Fernandez, cuma dia masih import biasa-biasa'
Malah, sepanjang separuh musim di Utara tanah air, penyerang berusia 31 tahun terbabit memiliki rekod yang agak baik dengan lapan jaringan dan dua bantuan gol dicetak daripada 15 penampilan secara keseluruhan.
Rekod sebegitu sekali gus membuka mata pihak pengurusan Selangor FC untuk mendapatkan khidmatnya untuk menggantikan Ronnie Fernandez di samping diharapkan mampu mencipta persefahaman baik bersama Chrigor.
Lebih menarik lagi, perpindahan tersebut menyaksikan Lira menyertai senarai eksklusif import bola sepak tempatan yang pernah mewakili kedua-dua pasukan tanah air yang digeruni itu.
1. Sandro Mendonca
Jika disebut nama Sandro Mendonca kepada peminat bola sepak tempatan, ramai sudah tentu membayangkan import dari Brazil tersebut menyarung jersi skuad Sang Kenari.
Ini kerana majoriti daripada kariernya dalam Liga Malaysia dihabiskan bersama Kedah, iaitu kira-kira empat musim bermula 2015 dengan kelab tersebut berada dalam divisyen kedua ketika kehadirannya.
Sandro lebih diingati kerana beraksi buat Kedah berbanding tempohnya bersama Selangor.
Bagaimanapun, keputusan diambil untuk ke Utara tanah air adalah tepat kerana pelbagai kejayaan dikecapi, termasuk membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia 2016.
Selepas empat musim berbakti, Sandro akhirnya memilih untuk mencari angin baharu dengan menyertai Selangor yang meskipun tidak menghadiahkan sebarang trofi, ia masih memberinya peluang kekal dalam arena bola sepak tanah air.
Kariernya bersama skuad Gergasi Merah tidaklah begitu lama apabila berakhir pada 2020 sebelum dia berkelana ke Sarawak United yang juga merupakan kelab terakhirnya.
2. Paulo Rangel
Rakan senegara kepada Sandro dan Lira, Paulo Rangel juga merupakan seorang lagi pemain yang mengalami tempoh sukses bersama dua kelab disegani dalam Liga Super itu.
Dia pada awalnya meraih pengalaman dalam arena bola sepak tempatan bersama Perak secara pinjaman sebelum berkelana ke Selangor pada musim berikutnya setelah memahami cabaran bakal dihadapi.
Bersama skuad Gergasi Merah, Rangel tidak berpeluang menjulang sebarang trofi, namun dia membawa pulang Anugerah Kasut Emas 2014 selepas meledak 16 jaringan dalam saingan Liga Super.
Selangor dan Kedah merupakan antara kelab tempatan pernah diwakili Paulo Rangel dalam kariernya.
Namun, pengakhiran kariernya bersama skuad Gergasi Merah dicemari sedikit kontroversi selepas dia menyatakan kelab itu culas dalam membayar gaji sebelum menyertai Terengganu.
Rangel berkelana ke beberapa kelab pada tahun-tahun berikutnya sebelum menyertai Kedah pada jendela perpindahan kedua musim 2018 kerana ketika itu, mereka tidak mempunyai penyerang import prolifik.
Meskipun hanya beraksi separuh kempen, penyerang terbabit masih memberikan impak terbaik apabila mencatatkan 12 gol daripada 23 penampilan dalam semua pertandingan.
3. Andik Vermansyah
Selangor merupakan antara kelab yang tidak pernah putus dengan kehadiran import Indonesia berkualiti, termasuk Andik Vermansyah yang masih diingati dalam kalangan peminat sehingga hari ini.
Dia menyertai skuad Gergasi Merah dari Persebaya Surabaya pada 2014 dengan kemasukannya membawa dimensi baharu buat jentera serangan pasukan kerana pemain sayap tersebut cukup lincah dan sukar diasak pihak lawan.
Bukti daripada kualiti ditampilkannya menyaksikan pemain kebangsaan Garuda itu berjaya membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia pada tahun kedua yang kemudian membolehkannya menerima tawaran kontrak lanjutan.
Andik menikmati tempoh lebih baik bersama Selangor berbanding semasa berada di Kedah.
Namun, selepas empat musim, kedua-dua pihak akhirnya mengambil haluan masing-masing dengan Selangor mencari pemain sayap baharu sementara Andik memilih untuk kekal dalam Liga Super dan menyertai Kedah.
Sumbangannya di Utara tanah air bagaimanapun tidaklah begitu mengujakan kerana dia hanya mencatatkan dua gol dan satu bantuan jaringan dalam 16 penampilan secara keseluruhan bagi musim 2018.
Pulangan kurang memberangsangkan itu menyaksikan kontraknya tidak dilanjutkan dengan Andik kemudian memilih untuk pulang ke Indonesia dan kekal aktif beraksi sehingga hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram