'Debut kad merah' import Sabah di Liga Super ungkit kisah legenda JDT, Perak alami nasib sama


  • Podium
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Pelekanos (kiri) dan Kunanlan (kanan) antara pemain menerima kad merah pada penampilan pertama mereka.

SETIAP pemain mengidamkan sebuah penampilan pertama yang gemilang bersama kelab baharu.

Mereka mengimpikan yang jaringan berjaya dihasilkan atau berjaya mencatatkan nirbolos (clean sheet) jika pemain itu adalah pertahanan atau penjaga gol.

Namun begitu, tak semua yang diimpikan menjadi kerana ada pemain yang menerima kad merah semasa pertama kali beraksi untuk kelab mereka.

BACA LAGI: Pelik tapi benar, Sabah-Penang terikut jejak 2 pendatang baharu Liga Super

BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT

S. Kunanlan

Salah satu pemain yang pernah menerima kad merah ketika penampilan pertama mereka ialah legenda Johor Darul Ta'zim (JDT), S. Kunanlan.

Kunanlan yang terkenal dengan larian pantasnya merupakan antara pemain yang disukai oleh majoriti penyokong JDT menerusi dedikasinya di padang.

Namun begitu, dedikasinya mungkin terlalu tinggi ketika penampilan pertamanya bersama Harimau Selatan apabila dia meraih kad merah semasa berdepan Kedah Darul Aman FC pada 2017.

Terjahan terhadap Ahmad Fakri Saarani menyebabkan Kunanlan dibuang padang dan itu menjadi salah satu asbab mengapa JDT tumpas kepada Sang Kenari pada aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim tersebut.

Dean Pelekanos

Pemain baharu Sabah FC dari Australia, Dean Pelekanos itu turut berdepan detik mengecewakan dalam penampilan pertamanya bersama kelab Borneo itu.

Menyertai Sabah untuk musim 2025/2026, penampilan pertamanya berakhir dengan kekecewaan apabila dibuang padang semasa bertemu Kuala Lumpur City FC.

Pada awal separuh masa kedua, Pelekanos didapati melakukan terjahan keras terhadap Ryan Lambert semasa KL City cuba membina serangan.

Hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Pelekanos melakukan terjahan keras lalu dia dilayangkan kad merah.

Sunday Afolabi

Seorang lagi pemain yang berdepan penampilan pertama yang sukar di Liga Super adalah bekas pemain import Perak FC, Sunday Afolabi.

Beraksi menentang KDA buat pertama kali di Liga Super, Afolabi dikenakan kad merah pada penghujung separuh masa kedua akibat terjahan keras.

Terjahan keras terhadap Manuel Hidalgo di tengah padang dikesan dengan jelas oleh pengadil lalu memberikannya kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.

Ia jelas 'membunuh' semangat Perak ketika itu yang sedang mengejar permainan dengan jaringan 1-2 sebelum tumpas 1-4 kepada Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram