
MEMALUKAN. Itulah ungkapan yang cukup untuk menceritakan berhubung kekalahan dialami skuad Sang Badak ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tempat lawan pada Ahad.
Umum mengetahui bahawa skuad Harimau Selatan memiliki jentera serangan ampuh serta pasukan serba-lengkap, namun kekalahan 0-8 dialami amat sukar diterima peminat dari Borneo tanah air.
Ini kerana keputusan tersebut merupakan antara yang paling buruk pernah dicatatkan dalam sejarah kelab meskipun mereka baru beberapa musim dahulu menjadi pencabar utama.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan setakat Arif Aiman 'hilang', ini 3 lagi kesilapan besar Xisco Munoz
Skuad Sang Badak dimalukan ketika berkunjung ke Selatan tanah air. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, disebabkan perancangan tidak teliti, Sabah FC menjadi mangsa terbaru JDT dengan kekalahan sedemikian sudah tentu sukar untuk dilupakan.
Kekecewaan itu diterukkan lagi dengan permulaan perlahan skuad Sang Badak dalam Liga Super apabila mereka belum mencatat sebarang kemenangan dari empat perlawanan.
Jadi, sekiranya prestasi mengecewakan itu mahu diatasi, beberapa perubahan perlu dilakukan kelab Borneo tanah air berkenaan demi mengembalikan status mereka sebagai pasukan digeruni tempatan.
1. Konflik kejurulatihan
Keputusan aneh diambil pihak pengurusan Sabah FC apabila melantik Jean-Paul de Marigny hanya beberapa minggu sebelum musim bermula dengan dia tidak langsung mempunyai peluang untuk mengenali pasukan.
Bekas pengendali Western Sydney Wanderers itu hadir menggantikan Martin Stano yang memastikan skuad Sang Badak mengakhiri kempen 2024/25 di tangga ketiga.
Skuad Sang Badak perlu memberi kepercayaan penuh terhadap keputusan Jean-Paul. — Facebook/Sabah FC
Namun, persoalan sebenar yang bermain di fikiran penyokong Sang Badak adalah berhubung peranan Alto Linus dalam pasukan kerana dia lebih aktif di kawasan teknikal berbanding Jean-Paul.
Isu tersebut perlu diatasi segera pihak pengurusan kerana terlalu banyak keputusan dalam pasukan pada akhirnya akan membawa kerugian seperti mana dialami musim ini.
Langkah terbaik adalah dengan menstruktur semula barisan kejurulatihan dengan memastikan tiada campur tangan dan pertindihan kuasa dan peranan di tepi padang dan padang latihan.
2. Kenal pasti import terbaik
Aktiviti perpindahan skuad Sang Badak sepanjang jendela lalu tidak menunjukkan sebarang kreativiti dari pihak pengurusan dalam membina pasukan yang kian berusia.
Pemergian tonggak seperti Ko Kwang-min, Telmo Castanheira serta Saddil Ramdani gagal diatasi kerana setiap pemain dinyatakan cukup cemerlang dalam peranan masing-masing.
Pemergian Tae-su meninggalkan impak cukup hebat buat Sabah FC.
Lebih teruk lagi, pihak pengurusan juga tidak berupaya mencari pemimpin dalam pasukan selepas membenarkan Park Tae-su berkelana ke Lembah Klang dengan pemergiannya amat terasa.
Meskipun import ditandatangani memiliki rekod cukup baik sepanjang karier, mereka yang tidak pernah beraksi di pentas Liga Super semestinya bergelut untuk mendapatkan rentak.
Jadi, dengan saingan sedang berlangsung, Sabah FC perlu berani memutuskan pemain luar negara manakah yang patut kekal dalam pasukan dan melakukan rombakan segera.
3. Selesaikan masalah luar padang
Kekalahan memalukan itu sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa pengurusan kelab mula terpengaruh dengan sesetengah pihak selain timbulnya unsur tuding-menunding.
Ini bukanlah kali pertama hal sedemikian tersebar kerana campur tangan politik dalam Sabah FC sudah kerap berlaku, namun prestasi baik menyembunyikan hal terbabit.
Joh Wid tidak boleh terus berdiam diri susulan kekalahan memalukan Sabah FC kepada JDT.
Bagaimanapun, memandangkan skuad Sang Badak ketika ini terus bergelut, masalah berkenaan kembali disebut-sebut di media sosial yang pastinya merencatkan keharmonian bilik persalinan.
Jalan terbaik adalah dengan mendesak pengurus besar pasukan, Mohd Joh Wid agar segera mengeluarkan kenyataan di sebalik masalah besar pasukan.
Meskipun ia tidak menyelesaikan setiap isu timbul, pendekatan sebegitu sekurang-kurangnya dapat memastikan penyokong terus hadir memberi sorakan di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram