
DALAM bola sepak moden, pemain import biasanya diberi tanggungjawab besar untuk membawa pasukan ke tahap lebih tinggi.
Manakan tidak, dengan gaji tinggi, status istimewa dan reputasi dari luar, penyokong sudah tentu menaruh harapan besar.
Namun hakikatnya, tidak semua import berjaya. Ada yang jadi wira, ada juga yang sekadar menghampakan.
Musim ini, saya nampak jelas perbezaan itu apabila membandingkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Jon Irazabal dan sudah semestinya pemain import The Red Giants, Kevin Deeromram.
BACA LAGI: Hong Wan mungkin terpinggir, 3 bintang Liga M masih ada masa pikat hati Cklamovski
Sudah beberapa perlawanan, kehebatan dua pemain ini begitu menarik penyokong bola sepak negara pada ketika ini.
Kalau melihat kepada karier mereka berdua, kedua-duanya tidak pernah bermain untuk Liga Malaysia, namun prestasi mereka bersama pasukan masing-masing sangat memberansangkan.
Jon Irazabal membuktikan mengapa JDT berani melabur padanya. Walaupun berposisi pertahanan, pemain berasal dari Sepanyol itu sudah menyumbang empat gol setakat ini dua kali merobek gawang Negeri Sembilan, sekali menentang Imigresen FC dan satu lagi ketika bertemu Penang FC.
Tambahan pula, dia menjadi benteng utama yang menjadikan JDT sukar ditembusi. Jelas, dia bukan sekadar pertahanan, tetapi juga ancaman di kawasan kotak penalti lawan.
Menariknya, Irazabal beraksi selaku pertahanan dan rekod gol dia lebih tinggi berbanding beberapa penyerang import pasukan lain.
Begitu juga dengan Kevin Deeromram. Biarpun bermain di posisi pertahanan kiri, pemain dari Thailand ini aktif naik turun padang, mencetak satu gol serta beberapa bantuan jaringan. Tenaganya di sisi sayap kiri memberi keseimbangan kepada pasukan.
Menurut statistik terkini dari Transfermarkt, Deeromram beraksi dalam lima perlawanan untuk Selangor FC musim 2025, dengan empat gol dan satu assist pada ketika ini.
Ini menunjukkan bahawa pemain berusia 28 tahun itu bukan sahaja konsisten, tetapi juga efektif dalam menyumbang kepada pasukan.
Ramai penyokong Selangor sendiri mengakui, tanpa Deeromram, pasukan akan goyah di bahagian kiri. Seorang pertahanan yang sanggup bekerja keras begini jelas sekali berbaloi.
Namun, apa yang berlaku dengan Willian Lira cukup mengecewakan. Seorang penyerang import, yang tugas utamanya menjaringkan gol, masih belum membuka akaun jaringan sehingga ke hari ini.
Lebih pedih, saya sebagai penyokong Selangor sendiri melihat bagaimana seorang pertahanan seperti Deeromram sudah pun menyumbang gol, tetapi penyerang yang sepatutnya jadi ‘mesin gol’ langsung tidak memberikan impak.
Sebagai penyokong, saya tertanya-tanya, apa sebenarnya peranan Lira di dalam padang? Adakah hanya sekadar melengkapkan kuota import? Adakah sekadar jadi penonton di padang sambil pemain lain bekerja keras? Dengan gaji yang besar, penyokong mengharapkan lebih daripada sekadar larian kosong dan usaha tidak menjadi.
Perbandingan ini sebenarnya sangat jelas. Irazabal di JDT menunjukkan import berkualiti boleh memberi impak besar baik dalam bertahan mahupun menyerang.
Penyokong Selangor terus kempunan untuk melihat jaringan daripada Willian Lira pada musim ini. — Facebook Selangor FC
Deeromram pula membuktikan profesionalisme dengan disiplin dan komitmen tinggi di Selangor. Tetapi Lira seolah-olah tidak menemui rentak, hingga penyokong mulai hilang sabar.
Kalau keadaan ini berterusan, Selangor perlu berani membuat keputusan besar. Tiada gunanya menyimpan penyerang yang gagal menjaringkan gol, sedangkan pasukan amat memerlukan sentuhan penyudah. Lebih baik gantikan dengan pemain yang benar-benar berbaloi.
Penyokong sanggup memberi peluang, tetapi sabar ada batasnya. Kalau pertahanan import pun boleh lebih tajam daripada penyerang import, jelas ada sesuatu yang tidak kena. — Majoriti
Syafiq Ahmad merupakan peminat tegar bola sepak Liga Malaysia terutamanya skuad Red Giants yang berasal dari Shah Alam, Selangor
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram