
KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) memang terkenal dengan suasana bilik persalinan yang meriah, dan kali ini giliran pemain sayap sensasi, Mohamadou Sumareh pula jadi ‘mangsa’ gurauan rakan sepasukan.
Menerusi perkongsian video oleh penyerang JDT, Bergson Da Silva, kelihatan beberapa pemain utama Harimau Selatan seperti Arif Aiman Hanapi, Heberty dan Shane Lowry berpakat membaling tepung ke atas Sumareh sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-31.
Aksi spontan berkenaan nyata menghiburkan ramai peminat, malah ruangan komen dipenuhi ucapan hari jadi buat Sumareh yang pernah menjadi antara tonggak utama skuad kebangsaan.
BACA LAGI: 'Tak salah rasanya JDT pakai skuad lebih familiar, asalkan cemerlang di Asia'
BACA LAGI: Kelab Kosovo kini sasaran TMJ lepas tak jadi melabur di Sepanyol, manfaatnya tentu buat JDT
Lebih menarik, sebahagian penyokong turut menitipkan harapan agar Sumareh atau nama panggilannya ‘Keli Boy’ tersebut diberi peluang turun menentang Sabah FC pada Ahad ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
“Selamat hari jadi Sumareh! Bagi hadiah main lawan Sabah please coach,” tulis seorang peminat Harimau Selatan, Betara Siong.
“Celup tepung sudah, bagi peluang gol pulak,” tambah seorang lagi pengikut juara bertahan Liga Super berkenaan, Irul Firmino.
Malah, ada yang berpendapat pengalaman dan kepantasan Sumareh masih mampu memberi dimensi berbeza dalam corak serangan JDT, terutama ketika berdepan lawan yang cukup konsisten musim ini, Sabah FC.
Kini, tumpuan penyokong Harimau Selatan adalah sama ada jurulatih Xixco Munoz akan merealisasikan ‘permintaan hari jadi’ itu dengan menurunkan Sumareh, sekali gus mengubat rindu penyokong untuk melihat aksi lincahnya di atas padang.
Untuk info, penyerang sayap berkenaan semakin tidak mendapat tempat dalam skuad Harimau Selatan susulan lambakan pilihan pemain berkualiti hingga menyaksikan Sumareh musim ini didaftarkan untuk beraksi bersama skuad JDT II bagi saingan Liga A1 Semi Pro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram