Penantian hampir 20 tahun Terengganu berakhir, muncul juara MSSM B-15 selepas tewaskan Kedah


  • Podium
  • Khamis, 18 Sep 2025

Kejayaan itu disaksikan ibu bapa dan jurulatih yang meluangkan masa di venue perlawanan. — Facebook/PBSNT

TEMASYA Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang sedang berlangsung menyajikan pelbagai aksi hangat daripada hampir kesemua acara dipertandingkan.

Ini termasuk saingan bola sepak yang bermula sejak Sabtu lalu di Kota Bharu, Kelantan dengan 14 negeri bertanding dibahagikan kepada empat kumpulan.

Saingan di peringkat kumpulan sahaja sudah cukup mendebarkan apabila keputusan menarik dapat disaksikan dalam usaha merebut slot ke pusingan kalah mati.

BACA LAGI: [VIDEO] Olahragawati MSSM Ke-65 pecah rekod, banyak makan keropok lekor rahsia kejayaan, belajar pun cemerlang

BACA LAGI: [VIDEO] Bolot 3 emas MSSM Perlis, pelari Terengganu boleh pergi jauh seperti 'gadis turbo' Sabah

Pasukan B-15 Terengganu menamatkan penantian 19 tahun untuk muncul juara dalam kategori itu. Orang awam

Jadi, selepas enam hari pertandingan dianjurkan, kejohanan itu akhirnya menemui penamat dengan Terengganu berjaya menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir bagi kategori Bawah 15 Tahun (B-15).

Pertembungan yang berlangsung di Padang JPN Tunjong, Kota Bharu pada Khamis itu terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas aksi 90 minit berakhir tanpa sebarang jaringan.

Penentuan berkenaan turut dihiasi dengan momen mendebarkan, seperti tepisan penjaga gol kedua-dua pasukan selain kegagalan menyempurnakan beberapa sepakan.

Detik mencemaskan itu berakhir dengan kejayaan Naqib Nor Aazman menyumbat jaringan bagi memastikan MSS Terengganu menumpaskan negeri Utara tanah air tersebut menerusi keputusan 4-3.

Kejayaan berkenaan sempat dirakam dan dikongsikan di laman Facebook Kuala Terengganu Residen memaparkan penonton terdiri dari ibu bapa dan jurulatih meluangkan masa memberikan sokongan.

Skuad B-12 Terengganu menamatkan saingan di kedudukan ketiga. Facebook/PBSNT

Ini kerana perlawanan tersebut amat penting buat negeri Pantai Timur berkenaan kerana kali terakhir mereka menjuarai kategori B-15 Bola Sepak MSSM adalah pada 2006.

Sorakan dan kemeriahan turut dapat dirasakan setelah Naqib menyempurnakan sepakan penalti dengan bendera Terengganu dikibarkan bagi mengabadikan momen bersejarah itu.

MSS Terengganu masih berpeluang menambah koleksi kejuaraan dalam acara itu kerana pasukan B-18 turut layak ke perlawanan akhir yang akan menyaksikan mereka berdepan MSS Selangor di Stadium Mini Kijang Emas, Kota Bharu pada Khamis.

Bagi skuad B-12 pula, mereka tidak dapat mengharumkan nama, namun berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas menang ke atas MSS Perak dalam penentuan tempat ketiga.

Dari segi kualiti individu pula, MSS Terengganu juga sudah membuktikan diri masing-masing selepas Adif Shazril Safian berada di kedudukan teratas carta penjaring B-18 sementara Luqmanul Hakim Zahari mengungguli kategori B-15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram