[VIDEO] Masihkah anda ingat? Sang Penyu pamer aksi '5 bintang' kali terakhir layan kunjungan Melaka


  • Podium
  • Khamis, 18 Sep 2025

Sang Penyu akan menerima kunjungan daripada Melaka FC dalam saingan Liga Super pada Jumaat ini. — Facebook/TFC

 

 

TERENGGANU FC berazam bangkit dalam saingan Liga Super 2025/26 selepas kekalahan mengejut 2-5 di tangan Selangor FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 27 Ogos lalu.

Meskipun dikecewakan oleh Gergasi Merah, skuad kendalian Badrul Afzan Razali pantas menebus kehampaan apabila menewaskan Imigresen FC 3-0 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA yang berlangsung Sabtu lalu, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 4-2.

Namun begitu, fokus kini kembali terarah kepada saingan Liga Super, yang mana kemenangan ke atas Melaka FC pada aksi Jumaat ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu bakal menjadi misi penting buat Sang Penyu untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam carta liga.

BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi

BACA LAGI: Terlalu harapkan Ifedayo boleh bawa risiko buat Kelantan TRW

Penyerang kelahiran Ivory Coast, Tcheche Kipre (kiri) mencatat jaringan hatrik pertamanya pada musim 2022.

Selepas empat perlawanan, Terengganu FC kini berada di tangga ketiga dengan tujuh mata dan kemenangan ke atas Melaka dijangka mampu mengekalkan momentum cemerlang skuad Pantai Timur itu.

Melaka FC yang kini berada di tangga kelapan liga dengan tiga mata hasil tiga keputusan seri, masih belum meraih sebarang kemenangan atau kekalahan.

Anak-anak buah K. Devan dilihat mampu memberi saingan setelah berjaya mengikat tiga lawan berbeza Penang FC (1-1), PDRM FC (0-0) dan Sabah FC (1-1).

Meskipun begitu, Terengganu dinasihatkan agar tidak memandang rendah keupayaan skuad Hang Tuah, apatah lagi Melaka FC jelas memiliki disiplin pertahanan yang kukuh berdasarkan prestasi awal musim ini.

Namun, sejarah pertemuan kedua-dua pasukan di Gong Badak memihak kepada Terengganu.

 

 

 

 

Kali terakhir Melaka bertandang ke sana pada 2022 ketika masih dikenali sebagai Melaka United FC. mereka dibelasah 5-0 oleh Sang Penyu.

Pada malam bersejarah itu, penyerang dari Afrika, Tchetche Kipre muncul wira apabila mencatat hatrik dalam babak kedua, manakala dua lagi jaringan disumbangkan oleh Kpah Sherman dan Nik Sharif Haseefy.

Pada musim berkenaan, Terengganu FC yang berada di bawah kendalian Nafuzi Zain boleh dikatakan sebagai pasukan kedua terbaik, hanya di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Kisah berbeza pula dialami Melaka United FC yang tidak berada dalam prestasi terbaik disebabkan masalah pengurusan dengan pemain melaporkan gaji tidak dibayar berbulan-bulan lamanya.

Isu tersebut dimanfaatkan penuh oleh skuad Sang Penyu yang menampilkan aksi lima bintang dengan lima gol dijaringkan membuktikan persembahan cemerlang pasukan pada waktu itu.

Hantaran demi hantaran serta kelincahan pemain Terengganu FC pada malam tersebut sukar diasak dengan kemenangan sedemikian diharap mampu diulangi.

Momen sukar dilupakan itu pastinya menjadi motivasi tambahan buat Terengganu untuk mengulangi kecemerlangan, terutama dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri pada Jumaat ini.

Untuk rekod, ketiga-tiga penjaring tersebut tidak lagi menyarung jersi hitam putih dengan Kipre beraksi bersama Penang FC, Kpah menyarung jersi Kuala Lumpur City FC, manakala Nik Sharif Haseefy pula memperkuatkan Imigresen FC dalam saingan musim 2025/26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram