‘Hype’ NSFC sudah berakhir atau hanya cabaran tempat lawan?


  • Podium
  • Isnin, 22 Sep 2025

Negeri Sembilan masih belum menang di laman lawan pada musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SETAKAT permulaan awal Liga Super, Negeri Sembilan FC antara kelab yang menghadirkan kejutan dari segi prestasi.

Persembahan baik ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun kalah serta kejayaan menewaskan Selangor FC membuatkan banyak pihak mula memberikan perhatian kepada mereka.

Dengan terdapat prospek untuk menamatkan liga di zon atasan, keputusan bertemu Imigresen FC pada Sabtu dilihat mula menimbulkan persoalan mengenai skuad Jang.

BACA LAGI: [VIDEO] Janganlah berulang, aksi NSFC-Selangor tak patut dicemari insiden seperti kontroversi Shukor, tamparan Razman

BACA LAGI: Dibandingkan dengan JDT, pemain salam atas arahan CEO NSFC, MFL larang VIP turun padang

Tumpul bila jauh dari Paroi?

Negeri Sembilan tidaklah kelihatan lemah, mereka masih mempunyai skuad yang baik dengan Nidzam Jamil berjaya membentuk sebuah pasukan ampuh untuk meraih kemenangan.

Namun begitu, tanpai disedari, mereka mempunyai satu trend yang kurang cantik apabila mereka dilihat sering bermasalah mencapai keputusan positif di tempat lawan.

Mungkin keputusan ketika bertemu JDT adalah disebabkan mereka berdepan lawan lebih sukar, namun apabila mengambil kira perlawanan bertemu PDRM FC dengan Imigresen FC, persoalan mula timbul.

Ketika bertemu PDRM dalam aksi Piala FA, Negeri Sembilan tumpas 0-1 di Selayang namun mujur layak ke pusingan seterusnya hasil kemenangan agregat 5-1.

Namun semasa bertemu Imigresen di Batu Kawan, skuad Jang pula mencatatkan keputusan seri sekali gus membuatkan mereka masih belum menang di tempat lawan pada musim ini.

Situasi tersebut melihatkan Negeri Sembilan seolah mengalami kesukaran untuk tampil garang di laman lawan, tidak seperti mereka ketika bermain di tempat sendiri.

Adakah hype sudah hilang?

Melihat kepada situasi tersebut, adakah ia menandakan hype sudah hilang mengenai Negeri Sembilan?

Jika dilihat, prestasi baik di awal musim membuatkan ramai teruja dengan Negeri Sembilan, ditambah dengan kehadiran penyokong begitu tinggi jika mereka bermain di laman sendiri.

Di saat keterujaan penyokong serta prestasi di laman sendiri masih lagi baik, persembahan di tempat lawan perlu dibaiki oleh Nidzam dengan segera.

Nidzam harus segera membaiki prestasi Negeri Sembilan di tempat lawan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Dengan persaingan sengit melibatkan beberapa kelab seperti Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC merebut kedudukan zon atasan Liga Super, Negeri Sembilan perlu tampil lebih kemas di tempat lawan agar tidak berterusan keciciran mata.

Mungkin Negeri Sembilan baru dua kali beraksi di tempat lawan dalam saingan liga, namun begitu jika prestasi tidak dibaiki, mereka tidak dapat menyamakan apa yang dilakukan dengan begitu baik semasa bermain di depan penyokong sendiri.

Hype mungkin belum hilang buat skuad Jang, namun Nidzam harus memastikan prestasi di tempat lawan skuadnya sebagus macam mana mereka bermain di Paroi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram