
SEBUAH kejadian jalan berlubang berlaku di Jalan Burma, Pulau Pinang pada Ahad, berpunca akibat kebocoran paip dalam tanah.
Menurut kenyataan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), paip yang bocor itu merupakan milik Indah Water Konsortium (IWK) dengan ia bersaiz 300mm dan menggunakan sistem pam bertekanan tinggi.
Disebabkan itu, ia menyebabkan berlakunya lubang mendap (sink hole) dengan jalan terpaksa ditutup bagi mengelakkan orang ramai melaluinya.
BACA LAGI: Pulau Pinang, Kelantan, Perak dan Borneo miliki khazanah pekan kecil buat pencinta kedamaian
MBPP serta pihak polis melakukan tindakan pantas dengan melencongkan trafik ke arah Jalan Dr Lim Chwee Leong bagi mengelakkan orang awam daripada terdedah kepada bahaya lubang mendap itu.
Pihak MBPP serta IWK masih lagi menjalankan siasatan dengan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas ia selesai.
"Kebocoran paip pembentungan yang bersaiz 300mm yang menggunakan sistem pam bertekanan tinggi (force main) tersebut telah menyebabkan kerosakan yang serius kepada permukaan jalan dan juga mencetuskan lubang mendap (sink hole) di Jalan Burma.
"Bertindak dengan segera atas faktor keselamatan awam, MBPP dengan kerjasama pihak PDRM telah menutup Jalan Burma dan melencongkan trafik ke arah Jalan Dr Lim Chwee Leong bagi mengelakan risiko kepada orang awam sementara menunggu sisatan lanjut dan dari pihak IWK dan MBPP.
"Sementara itu orang ramai adalah dinasihatkan merancang perjalanan sebaiknya untuk mengelakkan dari melalui kawasan di sekitar bangunan KOMTAR bagi mengelakan kesesakan yang berlaku disebabkan oleh lencongan jalan di Jalan Burma," kata MBPP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram