
PENGUNJUNG konsert di Malaysia dinasihatkan supaya berpakaian sopan, mengelakkan tingkah laku yang mengganggu, serta menghormati sensitiviti budaya dan agama negara.
Peraturan ini bukan bertujuan untuk merencatkan pengalaman menghadiri konsert, sebaliknya untuk memastikan acara seumpama itu dapat dinikmati dengan selamat dan selaras dengan nilai tempatan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin.
Beliau berkata konsert tidak boleh menjadi medan kekecohan atau perlakuan tidak senonoh, dan barangan terlarang seperti senjata, alkohol, dadah, serta lambang politik atau agama tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke lokasi konsert.
BACA LAGI: RM20 juta hasil anjur konsert digunakan semula ‘upgrade’ SNBJ
BACA LAGI: [VIDEO] Aneka gelagat selebriti melaram stail 90-an, warnai konsert GenKRU
Nik Kamaruzaman Nik Husin
Unit Permohonan Penggambaran Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) kementerian itu baru-baru ini mengemas kini garis panduan untuk persembahan artis luar.
Walaupun garis panduan tersebut menumpukan kepada penganjur dan artis, ia turut meliputi penonton sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penganjur.
Nik Kamaruzaman berkata, pengunjung konsert diharap berpakaian sopan dan berkelakuan hormat, sambil menambah tingkah laku mengganggu seperti menjerit slogan menghina, mencetuskan sentimen agama atau membaling objek boleh menyebabkan mereka diusir keluar dari lokasi.
Namun, garis panduan itu tidak menyatakan secara khusus apa yang dimaksudkan dengan pakaian sopan, Ia hanya menegaskan pakaian yang tidak senonoh atau terlalu menjolok mata adalah tidak dibenarkan.
Difahamkan pihak berkuasa tidak pernah membuat pemeriksaan kod pakaian terhadap penonton.
Garis panduan Puspal juga menetapkan penganjur konsert perlu memberi taklimat kepada artis luar negara mengenai jangkaan budaya, agama dan perundangan Malaysia sebelum mereka membuat persembahan di sini.
Garis panduan itu menyenaraikan dengan jelas perlakuan yang dilarang.
Setiap artis yang membuat persembahan di negara ini tertakluk kepada undang-undang ditetapkan.
Artis lelaki antarabangsa tidak dibenarkan berpakaian seperti wanita, manakala artis lelaki dan wanita dilarang menanggalkan pakaian di atas pentas atau memakai pakaian yang mendedahkan bahagian dada atau terlalu singkat melebihi paras lutut.
Selain itu, konsert berskala besar dengan lebih 5,000 penonton tidak boleh diadakan pada malam atau hari cuti umum Islam melainkan mendapat kelulusan awal daripada pihak berkuasa agama berkaitan.
Penganjur acara juga perlu memastikan artis tersebut mengesahkana mereka telah diberi taklimat mengenai peraturan berkenaan.
“Walaupun garis panduan ini memberi tumpuan kepada penganjur dan artis, ia secara tidak langsung turut merangkumi tingkah laku penonton melalui kewajipan penganjur,” kata Nik Kamaruzaman.
Berhubung mekanisme “butang henti” (kill switch) yang diumumkan pada 2023 untuk mengekang insiden tidak diingini semasa persembahan, dia berkata ia hanya digunakan sekali sejak dikuatkuasakan.
Sistem itu membolehkan konsert dihentikan serta-merta sekiranya artis melanggar garis panduan budaya atau perundangan, dan ia diaktifkan ketika konsert Ye!LoO oleh penyanyi Korea Selatan, Hyolyn, pada 31 Mei.
Satu rakaman ringkas di TikTok menunjukkan pentas bergelap ketika penyanyi dan penarinya sedang membuat persembahan.
Namun, penonton konsert memaklumkan lampu kembali menyala sejurus selepas itu dan persembahan diteruskan.
Difahamkan konsert itu dihentikan seketika kerana pakaian artis yang terlalu menjolok mata.
Pelan kill switch itu diwujudkan selepas insiden kontroversi melibatkan penyanyi Matty Healy, ketika membuat persembahan bersama kumpulannya The 1975 pada Julai 2023, apabila dia mengkritik undang-undang LGBTQ negara sebelum mencium rakan sepasukannya di atas pentas.
Mekanisme itu pertama kali diuji ketika konsert Coldplay pada 2023 sebelum dikuatkuasakan secara rasmi tahun ini.
Nik Kamaruzaman berkata semua konsert yang diluluskan Puspal tertakluk kepada garis panduannya.
Beliau berkata, akan ada antara dua hingga enam pegawai Puspal ditempatkan di setiap acara, dibantu oleh agensi lain termasuk polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Imigresen.
“Jumlah pegawai bergantung pada skala dan acara. Di bawah Pelan Pengurusan Insiden, pegawai pihak berkuasa tempatan dan penganjur acara mempunyai mandat untuk mengaktifkan butang henti atas nasihat pegawai Puspal,” katanya.
Keputusan itu mesti dibuat oleh ketua pasukan penguat kuasa daripada pihak berkuasa tempatan.
Laporan mengenai sebarang pengaktifan kemudian akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa Puspal untuk tindakan lanjut terhadap penganjur.
Nik Kamaruzaman berkata, butang henti hanya digunakan dalam situasi serius, dengan mengambil kira insiden, potensi risiko kepada penonton, implikasi undang-undang dan ancaman segera terhadap keselamatan. — The Star/KHOO GEK SAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram