[VIDEO] Janganlah berulang, aksi NSFC-Selangor tak patut dicemari insiden seperti kontroversi Shukor, tamparan Razman


  • Podium
  • Ahad, 24 Ogos 2025

NSFC akan melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada Ahad. — Facebook/SelangorFC-NSFC

PERTEMBUNGAN antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC (SFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Ahad dijangka menjadi antara perlawanan paling hangat dalam kalendar awal Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026.

Difahamkan, setakat pukul 1 tengah hari pada Sabtu (22 Ogos 2025), sebanyak 15,000 keping tiket perlawanan Liga Super itu telah terjual menerusi kemas kini oleh laman Facebook rasmi Negeri Sembilan.

Sambutan hangat daripada penyokong skuad Jang itu makin meriah selepas NSFC mengejutkan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor sebelum membelasah PDRM 5-0 di Paroi pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA, Isnin lalu.

BACA LAGI: Alex dipinjamkan ke NSFC bukan satu kesilapan — Legenda Selangor

BACA LAGI: Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT

Lebih menarik apabila aksi itu juga bakal menyaksikan ketua jurulatih NSFC, Nidzam Jamil menentang bekas pasukannya dengan dia pernah berada dalam barisan kejurulatih SFC pada 2022 hingga 2024.

Dalam masa sama, Gergasi Merah yang dibimbing Katsuhito Kinoshi hadir bersemangat selepas mengikat juara bertahan Kejohanan Kelab Asean (ACC) Shopee Cup, Buriram United dengan keputusan 1-1 di Chang Arena, Buriram, Thailand pada Rabu lepas.

Pertemuan antara skuad Jang dan Selangor dalam pertembungan pertama musim ini diharap tidak mengulangi insiden kontroversi yang pernah mencetuskan perdebatan hangat lebih sedekad lalu.

Masih segar dalam ingatan peminat bola sepak tempatan, aksi separuh akhir kedua Piala FA 2010 di Paroi menyaksikan Selangor tersingkir berdasarkan peraturan gol tempat lawan biarpun berjuang bermati-matian menentang Negeri Sembilan. 

Namun, perlawanan berkenaan dicemari dengan beberapa insiden yang menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak. 

Ketika itu, kontroversi tercetus apabila tonggak tengah Negeri Sembilan iaitu Shukor Adan didakwa melakukan handball (bola terkena tangan) ketika cuba menghalang percubaan pemain Gergasi Merah. 

Kejadian itu nyata menimbulkan kemarahan kem Selangor setelah pengadil enggan mengambil sebarang tindakan, sekali gus mencetuskan reaksi tidak puas hati dalam kalangan pemain serta penyokong.

Selain itu, pertahanan Selangor iaitu Razman Roslan turut menjadi tumpuan apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan lewat ke atas pemain lincah Negeri Sembilan, S. Kunanlan. 

Situasi berkenaan menjadi lebih tegang apabila Razman secara tiba-tiba menampar tonggak skuad Jang, Shahurain Abu Samah yang cuba membantu rakannya, sekali gus mengundang tindakan tegas pengadil. 

Kini, menjelang satu lagi pertembungan antara NSFC dan Selangor, penyokong mengharapkan agar sejarah hitam itu tidak berulang. 

Apa yang lebih utama, tumpuan perlu diberikan kepada aksi di atas padang dan semangat kesukanan, bukannya insiden yang boleh mencemarkan nama baik pertandingan berprestij seperti Piala FA 2010 itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram