
AGENSI Siasatan Persekutuan (FIA) Pakistan menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia yang licik apabila menahan 22 lelaki yang menyamar sebagai pemain bola sepak profesional untuk memasuki Jepun menggunakan dokumen palsu.
Menurut pegawai FIA, kesemua suspek lengkap berpakaian kit bola sepak dan mendakwa mereka bernaung di bawah Persekutuan Bola Sepak Pakistan (PFF) selain membawa surat kebenaran (NOC) palsu daripada Kementerian Luar Negeri.
Bagaimanapun, helah itu terbongkar ketika pemeriksaan imigresen Jepun, menyebabkan kesemua mereka dihantar pulang. Pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana kumpulan tersebut berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Pakistan.
BACA LAGI: Harimau Malaya sandar aura penyokong di Kuantan
BACA LAGI: Dalam sakit ada bahagia, hukuman gantung MFL sebenarnya beri masa untuk KDA pulih
Hasil siasatan mendapati dalang utama, Malik Waqas dari Pasroor, Sialkot, Punjab, Pakistan menubuhkan kelab palsu bernama Golden Football Trial dan mengenakan bayaran antara Rs4 juta hingga Rs4.5 juta (anggaran RM67,000–RM76,000) bagi setiap individu.
Memetik laporan dari Geo TV, pasukan Komposit FIA di Gujranwala difahamkan berhasil menahan Waqas pada 15 September lalu sebelum mendaftarkan beberapa kes terhadap lelaki tersebut.
Pihak FIA turut mendedahkan bahawa Waqas pernah melakukan modus operandi sama pada Januari 2024 apabila menghantar 17 lelaki ke Jepun dengan menggunakan jemputan palsu daripada sebuah kelab Jepun, Boavista FC untuk mendapatkan visa 15 hari.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berkenaan dilaporkan tidak pernah kembali ke Pakistan selepas tiba di negara tersebut.
Pengarah FIA Gujranwala, Muhammad Bin Ashraf menyifatkan penahanan Waqas sebagai kejayaan besar dalam usaha menumpaskan rangkaian penyeludupan manusia yang mengeksploitasi rakyat Pakistan atas nama sukan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rakan subahat sindiket itu, termasuk latihan khas yang diberikan kepada peserta bagi meniru gerak-geri pemain profesional demi mengelak kecurigaan pihak imigresen. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram