
SELEPAS dua musim yang amat mengecewakan bersama Manchester United, Andre Onana memilih untuk berkelana pada jendela perpindahan musim panas lalu dan menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor secara pinjaman.
Keputusan itu diambil untuk sekurang-kurangnya menyuntik keyakinan buat penjaga gol kebangsaan Cameroon yang berdepan kritikan sepanjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.
Perpindahan tersebut turut menyaksikan skuad The Red Devils membawa masuk Senne Lemmens dari Royal Antwerp untuk memperkukuh benteng pertahanan yang bagaimanapun belum membuahkan hasil.
BACA LAGI: Akhirnya ada mahukan Onana, moga Man United tak menyesal seperti zaman de Gea
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
Onana kerap dikritik sepanjang dua musim beraksi buat Manchester United. — Agensi
Namun, berbeza pula ceritanya buat Onana yang kembali yakin di atas padang buat Trabzonspor selepas diturunkan dua kali dalam saingan liga setakat ini.
Meskipun belum menikmati sebarang kemenangan, penjaga gol berusia 29 tahun itu mula digemari penyokong dan barisan kejurulatihan selepas baru-baru ini membawa sumbangan di jentera serangan.
Impak tersebut dicurahkan ketika pasukannya berdepan Gaziantep FK pada Sabtu dengan kedudukan ketika itu berpihak kepada pihak lawan yang mendahului 1-0.
Menyedari rakan sepasukannya, Paul Onuachu hampir di kotak penalti, Onana kemudian melakukan sepakan deras yang tiba di kawalan penyerang tersebut.
Peledak Trabzonspor itu menyudahkan peluang tersebut yang memastikan kedudukan kembali terikat, sekali gus memastikan penjaga gawang pinjaman berkenaan mencetak bantuan jaringan pertama dalam kariernya.
Onana pernah diangkat sebagai antara penjaga gol terbaik dalam melakukan hantaran semasa bersama AFC Ajax dan Inter Milan dengan kelebihan itu mendesak Manchester United menandatanganinya pada 2023/24.
Bagaimanapun, sepanjang bersama The Red Devils, persembahannya yang goyah dan tergopoh-gapah membuatkan peminat mendesak agar perubahan segera dilakukan.
Selepas gagal mendapatkan sebarang tawaran kukuh, Manchester United akhirnya terpaksa melepaskannya pada minit-minit akhir jendela perpindahan dengan harapan keyakinannya dapat kembali.
Bantuan jaringan dilakukan buat Trabzonspor itu sekali gus membuktikan dia masih mampu membantu skuad The Red Devils yang perlu memberi kepercayaan semula kepadanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram