Benteng kerap bocor, bekas bek Man United jadi sasaran DPMM FC elak terperosok dasar Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Blackett beraksi sebanyak 11 kali buat Manchester United dengan enam daripadanya hadir dalam saingan EPL.

PENYERTAAN DPMM FC sebagai pasukan jemputan Liga Super 2025/26 belum menyaksikan sebarang impak, malah menjadikan kelab berpangkalan di Brunei itu sebagai kelab belasahan.

Selepas mengharungi tiga perlawanan liga, skuad bimbingan Jamie McAllister itu hanya mengumpul satu mata hasil keputusan seri dalam aksi pembukaan berdepan PDRM FC.

Kutipan mata mengecewakan itu menyaksikan kelab tersebut kini berada di tangga kedua tercorot dengan peluang untuk membaiki kedudukan masih samar setakat ini.

BACA LAGI: Sempat dilamar kelab lokal, 2 faktor utama dorong Syafiq Ahmad nekad pilih DPMM

BACA LAGI: YCL idam taktikal lebih baik di Gong Badak, DPMM tunggu kejutan Aidil Sharin

DPMM FC dimalukan Kuching City FC dalam aksi timbal balik Piala FA. Facebook/MFL

Lebih mengecewakan lagi, dalam saingan Piala FA, DPMM FC dimalukan Kuching City FC menerusi agregat 4-9 selepas mengalami kekalahan 1-7 di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad lalu.

Keputusan tersebut menceritakan bagaimana kelab berkenaan terlalu mudah dibolosi, termasuk dalam saingan Liga Super apabila mereka sudah melepaskan 10 gol setakat ini dengan separuh daripadanya disaksikan semasa dimalukan Terengganu FC.

Ini merupakan satu pulangan memalukan buat pasukan tersebut yang diharapkan mampu memberi saingan melihat kepada struktur kewangan kukuh dan pengalaman luas dimiliki.

Menyedari masalah dihadapi tersebut, pihak pengurusan sedia melakukan perancangan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super 2025/26 untuk merekrut pemain lebih berkualiti.

Dalam satu hantaran di laman sesawang rasmi kelab, DPMM FC berhasrat memberi tempoh percubaan buat bekas pemain pertahanan Manchester United, Tyler Blackett.

Kali terakhir Blackett beraksi secara profesional adalah buat Rotherham United dalam liga bawahan England. Agensi

Pemain tersebut cukup dikenali dalam kalangan peminat gergasi Eropah itu kerana pernah beraksi dalam pasukan utama setelah bertahun-tahun berada dalam akademi mereka.

"Pada musim 2014/15, dia beraksi sebanyak enam kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Manchester United sebelum berkelana ke Reading FC untuk tiga musim.

"Dia kemudiannya berpindah ke Amerika Syarikat dan menyertai Cincinatti FC dan pada musim 2022/23, Blackett pulang ke England dan beraksi buat kelab liga bawahan, Rotherham United untuk dua musim," tulisnya.

Setelah kali terakhir beraksi pada 2024/25, pemain berusia 31 tahun itu tidak terikat buat mana-mana pasukan dengan isu kecederaan dan kecergasan terus menghantuinya.

Jadi, sekiranya DPMM FC masih berminat untuk mendapatkan khidmatnya, ia merupakan satu perjudian besar kerana mereka memerlukan bek tengah baharu dengan kadar segera.

Bagaimanapun, kehadiran Blackett mampu menjadi daya tarikan buat peminat bola sepak di Brunei untuk terus memberi sokongan di stadium setiap kali beraksi di laman sendiri mahupun tempat lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram