
TRABZONSPOR dilaporkan telah mencapai persetujuan lisan untuk mendapatkan penjaga gol Manchester United, Andre Onana secara pinjaman menjelang tarikh tutup perpindahan pada 12 September ini.
Pemerhati bola sepak terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan perkara itu menerusi platform X namun menegaskan keputusan akhir kini bergantung kepada penjaga gol antarabangsa Cameroon berusia 28 tahun itu.
Onana, yang menerima gaji sekitar £200,000 (RM1.2 juta) seminggu kini hilang tempat dalam kesebelasan utama selepas pengurus United, Ruben Amorim memilih Altay Bayindir untuk tiga perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Onana pulang ke tempat asal, pamer bakat lebih baik dari jaga gawang Man United
BACA LAGI: Tak sabar jual Onana, Man United tunggu masa 'sign' pemenang Piala Dunia
Satu-satunya penampilan penjaga gol Cameroon berkenaan setakat ini hanyalah ketika kekalahan mengejut dalam saingan Piala EFL menentang Grimsby Town.
United turut menguatkan posisi benteng terakhir dengan menandatangani penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens dari Royal Antwerp pada hari terakhir jendela perpindahan.
Pemain berusia 23 tahun tersebut menyertai Red Devils dengan harga permulaan £18.1 juta (RM108.6 juta) dan menandatangani kontrak selama lima tahun.
Meskipun Onana baru sahaja tiba pada musim panas 2023 dari Inter Milan, posisinya sebagai penjaga gol nombor satu akan dicabar Lammens dan Bayindir di Old Trafford.
Tangkap layar ciapan Romano mengenai masa depan Onana.
Musim lalu, Onana membuat 50 penampilan namun melepaskan 65 gol dan hanya mencatat 11 clean sheet, dengan aksi terakhir tanpa bolos dalam Liga Perdana hadir ketika seri 0-0 menentang Manchester City di Old Trafford pada April.
Menurut laporan The Athletic, Onana masih memiliki tiga tahun baki kontrak tetapi menuntut kenaikan gaji ketika kembali untuk pra-musim.
Tuntutan itu kurang disenangi Amorim, terutama selepas penjaga gol itu mengalami potongan gaji 25 peratus susulan kegagalan United layak ke Liga Juara-Juara musim lalu.
Situasi tersebut membuatkan Amorim menggugurkan Onana daripada perancangan utama, sekali gus membuka ruang kepada Trabzonspor untuk menguji peluang mendapatkan khidmat bekas bintang Inter itu.
Namun, penyokong United tidak harus terkejut jika Onana kembali menemui prestasi terbaiknya bersama kelab Turki itu.
Keadaan ini boleh dibandingkan dengan David De Gea, yang selepas meninggalkan Old Trafford, berjaya membina semula reputasinya di Serie A bersama Fiorentina.
Walaupun musim terakhir De Gea di Manchester United penuh dengan kritikan mengenai konsistensi dan gaya permainannya yang dianggap kurang sesuai dengan corak moden, penjaga gol Sepanyol itu tetap meninggalkan legasi besar sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab.
Sejak menyertai Fiorentina, De Gea menunjukkan peningkatan semula dalam keyakinan serta mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan penting.
Kehadirannya bukan sahaja membantu kelab Itali itu menstabilkan benteng pertahanan, malah turut membuktikan bahawa penjaga gol berpengalaman masih mampu memberikan impak besar apabila diberi kepercayaan.
Melihat kepada perkembangan tersebut, tidak mustahil Onana mampu mengikuti jejak langkah serupa, menggunakan peluang di Trabzonspor sebagai pentas untuk mengembalikan keyakinan dan membuktikan dirinya masih relevan di peringkat tertinggi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram