Bukan salah Sesko, Rooney anggap peluang terhad punca The Red Devils bergelut derby Manchester


  • Podium
  • Isnin, 15 Sep 2025

Sesko gagal memberi impak ketika The Red Devils mengalami kekalahan di tangan Manchester City. — Agensi

PERMULAAN buruk dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26 berterusan buat Manchester United selepas mereka tewas kepada Manchester City dalam aksi derby Manchester pada Isnin.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad, benteng pertahanan The Red Devils dibolosi tiga kali dengan Phil Foden membuka jaringan sebelum Erling Haaland menambah duka buat pasukan pelawat pada babak kedua permainan.

Keputusan itu meletakkan skuad bimbingan Ruben Amorim di tangga ke-14 selepas hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan yang sudah tentu cukup merisaukan.

BACA LAGI: No jersi bakal disarung Benjamin Sesko di Man United

BACA LAGI: Man United secara rasmi bida Benjamin Sesko

Manchester United mengalami satu lagi kekalahan dalam EPL ketika bertandang ke Stadium Etihad. Agensi

Aksi di tempat lawan itu turut menyaksikan ketumpulan barisan hadapan Manchester United yang hanya melakukan dua percubaan tepat ke arah gawang tuan rumah.

Ini merupakan statistik mengecewakan kerana pelaburan besar sudah dibuat pada jendela perpindahan musim panas lalu, termasuk ketika membelanjakan £73.8 juta (RM449 juta) untuk mendapatkan Benjamin Sesko dari RB Leipzig.

Dalam perlawanan itu, penyerang antarabangsa Slovenia tersebut hanya menyentuh bola sebanyak 20 kali dan hanya melakukan satu percubaan tepat ke arah gawang Manchester City.

Statistik tersebut tidak cukup untuk menceritakan pelaburan dibuat The Red Devils terhadapnya dengan penyokong mula beranggapan dia akan gagal dalam EPL.

Bagaimanapun, bagi legenda Manchester United, Wayne Rooney, pandangan yang menyatakan Sesko tidak membawa sebarang impak adalah sesuatu yang kurang tepat memandangkan dia kurang diberi bantuan sepanjang perlawanan.

Rooney enggan mempersalahkan Sesko atas ketumpulannya di hadapan pintu gol Manchester City. Agensi

"Dia tidak disajikan peluang dan kelihatan kurang terlibat di aras padang. Sejujurnya, Manchester United ada kalanya beraksi baik, namun gagal mencipta apa-apa daripadanya," jelas bekas pemain itu.

Kegagalan mencetak jaringan dalam derby Manchester itu menyaksikan Sesko tidak membawa sebarang sumbangan di hadapan pintu gol lawan buat The Red Devils setakat ini.

Sekiranya dia terus bergelut dalam posisi diberikan, Amorim terpaksa mencari solusi yang sukar untuk ditemui, lebih-lebih lagi selepas kehilangan khidmat Matheus Cunha akibat kecederaan.

Tambah Rooney, pendekatan diambil Manchester United dalam melakukan hantaran tinggi ke dalam kotak penalti lawan membuatkan Sesko sukar melakukan risiko ke arah gawang gol The Cityzens.

"Hantaran lintang yang dibuat juga gagal membawa kelainan kerana mereka seperti tiada hala tuju jelas. Ini akan menyukarkan Sesko untuk mencipta kelainan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram