
KEMENANGAN selesa 4-0 ke atas Perlis GSA FC di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada Isnin lalu sepatutnya membakar semangat Johor Darul Ta'zim (JDT) II dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Ini kerana selepas mengharungi tiga perlawanan, skuad muda Harimau Selatan terus belum mendapatkan rentak dengan mereka kini di tangga ketujuh dengan hanya enam mata diraih.
Jadi, sekiranya pasukan Selatan tanah air itu mahu terus memberi tekanan kepada kelompok teratas, kemenangan demi kemenangan perlu dicatatkan pada aksi-aksi akan datang.
BACA LAGI: Bakal terima rawatan seperti Syamer Kutty, JDT hantar Feroz Baharudin ke Barcelona
Perak FA menduduki tangga ketiga sementara JDT II masih di kedudukan ketujuh.
Tetapi, melihat kepada jadual terkini, JDT II berdepan cabaran hebat dalam perlawanan selepas ini apabila mereka akan menerima kunjungan Perak FA di laman sendiri.
Pertembungan yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor pada Sabtu itu akan menjanjikan aksi hangat seperti mana pernah disaksikan sebelum ini.
Ini kerana Perak FA berada dalam prestasi cemerlang ketika ini dengan tujuh mata diraih selepas empat perlawanan membuktikan kualiti dimiliki pasukan itu.
Malah, sekiranya dilihat kepada pertembungan lalu, kelab Utara tanah air itu kerap memberi cabaran terhadap JDT II, termasuk ketika pertemuan terakhir di venue berkenaan.
Perlawanan dimaksudkan adalah semasa saingan Liga Perdana 2022 ketika Perak masih lagi berstatus kelab swasta yang bagaimanapun terpalit dengan isu pengurusan.
Skuad muda Harimau Selatan menundukkan Perak FA ketika kali terakhir mereka bertemu di Pasir Gudang. — Facebook/JOHOR Southern Tiger
Ini kerana kira-kira setahun sebelum perlawanan itu berlangsung, pasukan berkenaan mengalami masalah tunggakan gaji sehingga menyaksikan mereka tersingkir ke divisyen kedua buat pertama kali.
Namun, ketika berkunjung ke Johor, skuad The Bos Gaurus (TBG) yang dikendalikan Yusri Che Lah masih tekad memberi tekanan kepada tuan rumah.
Kecemerlangan itu dibuktikan apabila Perak FC tidak dibolosi sepanjang 45 minit perlawanan dengan benteng pertahanan kukuh menyerap asakan JDT II.
Kekebalan kubu pasukan akhirnya berjaya dirobohkan selepas bek muda Harimau Selatan, Feroz Baharudin memecah kebuntuan pada masa kecederaan babak pertama.
Gol tersebut sedikit sebanyak meranapkan harapan anak-anak buah Yusri yang sudah tentu berasa tertekan untuk memburu jaringan penyamaan pada baki 45 minit permainan.
Feroz (tengah) diraikan sebagai wira perlawanan dalam aksi tersebut. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun serangan demi serangan dilancarkan pasukan pelawat, JDT II juga cemerlang mengawal kubu pertahanan dengan gandingan Feroz dan Junior Estdal cemerlang sepanjang perlawanan.
Perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 1-0 buat tuan rumah itu juga sedikit sebanyak membuka mata orang ramai akan bakat dimiliki Feroz apabila dia diserap ke dalam pasukan utama pada musim berikutnya.
Malah, sepanjang bersama skuad senior, dia yang baru berusia 25 tahun sudah merekodkan 68 penampilan secara keseluruhan dengan lapan gol sudah direkodkan.
Tidak terhenti di situ, karier bek tersebut juga semakin mencanak selepas diberikan peluang bersama Harimau Malaya apabila dia sudah beraksi lima kali di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, harapannya untuk terus beraksi secara kerap berdepan gangguan selepas dia mengalami kecederaan serius musim lalu dan masih belum diturunkan setakat ini. — Majoriti