'Masih teringat hari pertama di pejabat', legenda JDT tinggalkan The Lions selepas 3 tahun


  • Podium
  • Rabu, 17 Sep 2025

Baihakki mengumumkan peletakan jawatannya daripada FAS. — Facebook/Baihakki

 

 

BEKAS tonggak pertahanan pasukan bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan mengumumkan peletakan jawatannya daripada Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), sekali gus menandakan tamatnya penglibatannya dalam bidang pengurusan bola sepak.

Bekas Ketua Perancangan Pejabat Bahagian Teknikal FAS berkenaan mengumumkan keputusan tersebut menerusi laman Facebook dan Instagram peribadinya pada Selasa.

BACA LAGI: Isteri Baihakki bersuara tegur FAS gara-gara anak digugurkan skuad sebab pilih akademik

BACA LAGI: [VIDEO] 'Why not?', legenda Singapura harap anak ikut jejak sarung jersi JDT

“Dengan penuh rendah diri dan rasa hormat, saya secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan saya daripada Persatuan Bola Sepak Singapura. Saya masih ingat hari-hari pertama saya memulakan tugas, tertanya-tanya dari mana harus saya bermula.

“Berbekalkan pengalaman di atas padang, saya membawa bersama prinsip ‘bermain dengan mudah, tetapi berkesan.’ Daripada situ, saya membentuk pegangan kerja yang menjadi panduan sepanjang perjalanan ini: ‘idea kecil, impak besar.’

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang mempercayai idea-idea ini dan membantu merealisasikannya. Kepada rakan sekerja, terima kasih atas kepercayaan, persahabatan dan semangat berpasukan yang telah diberikan,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Baihakki turut merakamkan penghargaan kepada rakan sekerja atas kepercayaan, persahabatan dan semangat berpasukan yang diberikan sepanjang perkhidmatan.

“Ini mungkin penutup satu bab, tetapi misi untuk terus berkhidmat demi bola sepak tidak akan pernah terhenti,” katanya bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan.

Baihakki, 40, pernah beraksi bersama kelab-kelab ternama di rantau Asia Tenggara termasuk Geylang United, LionsXII dan Tampines Rovers di Singapura; Persija Jakarta serta Persib Bandung di Indonesia; JDT di Malaysia; selain Muangthong United dan Prachuap FC di Thailand.

Beliau turut memiliki 140 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura dan membantu meraih tiga kejuaraan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Selepas bersara sebagai pemain pada 2022, Baihakki menyertai FAS sebagai Peneraju Projek Khas dan Duta Pejabat Setiausaha Agung sebelum dilantik sebagai Ketua Perancangan Bahagian Teknikal pada 2023.

Sepanjang tempoh itu, Baihakki melancarkan inisiatif seperti FAS Players’ Concierge untuk membantu pemain dalam aspek kewangan, pendidikan dan pembangunan kerjaya; serta mewujudkan Sistem Pentauliahan Akademi (AAS) bagi memperkukuh pembangunan belia.

 

 

 

 

Baihakki juga terlibat dalam projek pembangunan bola sepak kebangsaan, Unleash The Roar (UTR), yang dilancarkan pada 2024.

Peletakan jawatan Baihakki berlaku ketika FAS melalui fasa perubahan pentadbiran, termasuk pelantikan Badri Ghent sebagai Setiausaha Agung yang baharu menggantikan Chew Chun-Liang pada 1 September.

Pada Ogos lalu, isterinya yang juga selebriti dan usahawan, Norfasarie Mohamed Yahya, pernah meluahkan kekecewaan apabila anak sulung mereka, Mika Bazil Baihakki, 16, tidak disertakan dalam skuad kebangsaan untuk Kelayakan Piala Asia B-17 AFC.

Namun, difahamkan insiden itu bukanlah punca utama pengunduran Baihakki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram