'Suka dalam duka', Feroz Baharudin gembira raih penghargaan tertinggi biarpun dihantui kecederaan lutut serius


  • Podium
  • Rabu, 30 Apr 2025

Feroz masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut yang dialaminya pada pertengahan musim. — Agensi

MUSIM 2024/2025 mungkin cemerlang buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mereka sekali lagi meraih gelaran treble untuk mengukuhkan penguasaan dalam bola sepak Malaysia.

Namun begitu, lain ceritanya buat Feroz yang terpaksa 'bercuti' awal akibat kecederaan lutut yang serius dialaminya.

Feroz mengalami kecederaan lutut pada Januari dan terpaksa melupakan baki saingan musim ini.

BACA LAGI: Bakal terima rawatan seperti Syamer Kutty, JDT hantar Feroz Baharudin ke Barcelona

BACA LAGI: Lepas hilang Feroz, JDT kempunan khidmat Jun-heong baki 2 aksi ACLE

Feroz memenangi anugerah pertahanan terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan. — MFL

Walaupun hanya beraksi separuh musim, tetapi Feroz berjaya menempatkan dirinya sebagai pertahanan terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Bagi Feroz, musim ini penuh suka dan duka untuknya. Walaupun berjaya meraih anugerah, namun kecederaan lutut itu adalah detik hitam dalam kariernya.

"Jauh di sudut hati, saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Tapi saya gembira dan sedih dalam masa yang sama.

"Mengalami kecederaan lutut adalah perkara paling sedih berlaku kepada saya. Tapi untuk tamatkan musim dengan anugerah, saya amat bersyukur kepada semua yang mendoakan saya," kata Feroz.

Feroz yang dilihat menjadi prospek pertahanan untuk skuad kebangsaan juga sedang fokus untuk kembali pulih dan dapat memulakan musim 2025/2026.

Dia yang melakukan 13 penampilan Liga Super musim ini menganggap 2024/2025 adalah kempen terbaik buatnya walaupun berdepan kecederaan serius.

Menjelang musim baharu, Feroz bersedia untuk meraih semula tempatnya dalam skuad JDT sekali gus menerima panggilan mewakili Harimau Malaya.

"Ini adalah musim terbaik saya setakat ini. Malangnya di pertengahan, malang menimpa. Tapi anugerah ini akan mendorong saya untuk kembali lebih kuat.

"Sasaran saya adalah untuk membanggakan negara dan kelab saya," ujar Feroz. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram