
IMIGRESEN FC bakal melayani kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super 2025/26 yang dijadual berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pertembungan itu menjadi peluang terbaik buat skuad bimbingan Yusri Che Lah untuk meraih kemenangan sulung musim ini, apatah lagi dengan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Namun, cabaran getir menanti apabila lawan mereka, Negeri Sembilan FC tampil dengan prestasi memberangsangkan setakat ini, termasuk mencipta kejutan menewaskan naib juara musim lalu, Selangor FC 2-1 pada 24 Ogos lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Reziq Bani Hani makin menyerlah di Iraq, jauh beza berbanding ketika bersama Selangor
BACA LAGI: [VIDEO] Masihkah anda ingat? Sang Penyu pamer aksi '5 bintang' kali terakhir layan kunjungan Melaka
Imigresen FC masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super. — Facebook/imigresenfc
Skuad kendalian Nidzam Jamil itu juga memberi saingan sengit kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila berjaya menembusi gawang lawan sebanyak tiga kali dalam kekalahan 3-5 pada 12 Ogos.
Mereka kemudian mencuri perhatian sekali lagi dengan keputusan seri 2-2 menentang Kuching City FC pada 29 Ogos.
Dengan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan selepas tiga perlawanan, NSFC jelas bukan pencabar yang boleh dipandang ringan oleh Imigresen FC.
Bagaimanapun, Imigresen FC masih punya kelebihan dari aspek rekod di laman sendiri, selain pengalaman luas Yusri Che Lah setiap kali berdepan Negeri Sembilan sepanjang kerjayanya sebagai jurulatih.
Menariknya, sepanjang membimbing Perak FC dari 2023, Yusri belum pernah tewas kepada Negeri Sembilan.
Beliau mencatat dua kemenangan 1-0 pada 1 Oktober 2023 dan 14 September 2024 dan satu keputusan seri 1-1 (19 April 2023) dalam aksi Liga Super.
Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah pastinya memiliki ramuan tersendiri untuk menundukkan skuad Jang. — Facebook/imigresenfc
Rekod itu jelas menunjukkan bahawa Yusri memiliki pendekatan tersendiri dalam menghadapi skuad Jang dan mampu merencana strategi berkesan untuk meraih tiga mata penuh di Stadium Batu Kawan.
Namun, dia pernah tewas kepada Negeri Sembilan ketika membimbing Kelantan, dengan kekalahan 1-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada musim 2018, ketika pasukannya terjejas akibat ketiadaan pemain import.
Malah, pada tahun berikutnya, Yusri juga pernah tewas 2-5 ketika berdepan skuad Jang ketika aksi Liga Perdana dengan itu adalah kali terakhir dia tewas kepada pasukan terbabit.
Meskipun rekodnya tidaklah bersih, ini sudah cukup untuk menceritakan pengendali dari Perlis itu tahu cara terbaik untuk mengecewakan pasukan tersebut.
Pertemuan pada Sabtu itu dijangka berlangsung sengit, dengan kedua-dua pasukan memburu kemenangan demi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
Imigresen FC akan bergantung kepada semangat juang di gelanggang sendiri, manakala NSFC pula mahu meneruskan momentum cemerlang mereka di permulaan musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram