
TIDAK boleh dinafikan bahawa pelaburan dibuat Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membangunkan Johor Darul Ta'zim (JDT) cukup berbaloi dari dalam mahupun luar padang.
Meskipun impaknya tidaklah begitu kelihatan di pentas Asia, dominasi skuad Harimau Selatan di pentas domestik membuktikan kelab itu berada dalam kelas tersendiri.
Selain itu, jenama JDT yang bertahun-tahun memonopoli bola sepak tempatan memudahkan urusan menarik pelabur dari syarikat ternama yang akan menjayakan lagi pasukan itu di mata dunia.
BACA LAGI: Harimau Malaya masih bawah FAM, Tunku Ismail bantu kami terus maju — Presiden FAM
BACA LAGI: Tersingkir ACLE, Tunku Ismail sudah kenal pasti kelemahan, hanya tunggu masa berbelanja besar
Impak dibawa Tunku Ismail sejak menguruskan JDT tidak boleh dinafikan.
Bagaimanapun, usaha Tunku Ismail tidak terhenti di situ selepas baru-baru ini, kedengaran ura-ura mengatakan terdapat usaha meluaskan pengaruhnya hingga ke Eropah.
Ini selepas tular laporan media antarabangsa, termasuk Sportsport yang berpangkalan di Bosnia & Herzegovina menyebut bahawa pemilik JDT itu mahu melabur ke kelab Kosovo, FK Sarajevo.
"Dalam tempoh enam bulan lalu, Tunku Ismail dilaporkan sedang dalam rundingan untuk menjadi salah seorang pelabur FK Sarajevo. Ini merupakan satu berita baik buat peminat kelab itu.
"Ia kerana Tunku Ismail merupakan pemilik salah sebuah kelab terbesar dan paling berjaya di Malaysia iaitu JDT. Pelaburan dalam FK Sarajevo bukanlah kali pertamanya dalam dunia bola sepak," tulisnya.
FK Sarajevo yang beraksi di Kosovo menjadi destinasi untuk Tunku Ismail melabur. — Agensi
Laporan dikeluarkan pada Selasa itu turut menyertakan bagaimana pemilik skuad Harimau Selatan berkenaan pernah disebut-sebut mahu membeli saham kelab Sepanyol, Valencia CF.
Khabar angin berkenaan timbul berikutan pemegang saham terbesar semasa, Peter Lim tidak begitu disenangi peminat kerana selama 11 tahun bersama pasukan itu, tiada sebarang peningkatan disaksikan.
Malah, sepanjang tempoh terbabit, beberapa siri protes dan tunjuk perasaan dianjurkan dengan harapan usahawan dari Singapura berkenaan dapat melepaskan pegangannya.
Tunku Ismail sebelum ini pernah dikaitkan sebagai pemegang saham CF Valencia. — Agensi
Tetapi, dengan usaha itu tidak berjaya, Tunku Ismail dilaporkan tidak berputus asa untuk meninggalkan pengaruh dalam bola sepak sekitar Eropah dengan FK Sarajevo menjadi destinasi relevan.
Sekiranya proses tersebut berjalan lancar, ini akan memberi manfaat besar buat JDT, terutamanya dari segi pembangunan pemain muda dalam akademik.
Meskipun kelab Kosovo itu tidaklah begitu dikenali, peluang beraksi di Eropah akan menyediakan pengalaman bermakna dan kemudian memberi impak besar dalam karier masing-masing.
Akademi JDT ketika ini kerap menghantar pasukan dalam kejohanan belia di peringkat antarabangsa dengan pendedahan disediakan amat bermakna demi pembangunan bakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram