Bakal terima rawatan seperti Syamer Kutty, JDT hantar Feroz Baharudin ke Barcelona


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Feroz sering mendapat kepercayaan dari Bidoglio untuk membarisi kesebelasan utama.

PERTAHANAN Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Feroz Baharudin terpaksa melupakan baki saingan Liga Super 2024/25 selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Pemain berusia 25 tahun itu dipercayai mengalami kecederaan serius itu ketika menjalani sesi latihan bersama pasukannya.

Perkara itu juga dikongsikan oleh Feroz menerusi laman media sosial miliknya yang mana dia terpaksa berehat panjang bagi menjalani proses pemulihan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Where are they now?', 11 bintang AMD termasuk Luqman Hakim pernah 'bantai' Tajikistan 6-2

BACA LAGI: [VIDEO] Bergson da Silva mesra bergambar bersama penyokong lawan, fans JDT cemburu tak dapat 'layanan sama' di SSI

Namun Feroz pastinya kembali lebih kuat dan proses pemulihannya dijangka lebih pantas kerana fasiliti yang dimiliki JDT dengan kerjasama bersama pakar dari luar negara, membolehkan perkara itu berlaku.

Perkongsian terbaharu daripada Feroz di media sosial miliknya berkongsi foto dia bersama keluarga akan terbang ke Sepanyol bagi menjalani rawatan ACL sama seperti beberapa pemain JDT sebelum ini.

Tidak tahu di mana lokasi tepat buat Feroz menjalani rawatan tersebut di Sepanyol, akan tetapi JDT mempunyai seorang pakar dalam bidang perubatan sukan dan pendidikan jasmani iaitu Dr. Juan Boffa.

Mempunyai kepakaran dalam bidang traumatologi bola sepak, Dr. Boffa akan merawat dan membimbing mana-mana pemain di JDT yang mengalami kecederaan serius.

WhatsApp Image 2025-01-21 at 10.42.26 AM

Perkongsian Feroz dalam Instagram mengenai situasinya ketika ini.

Sebelum ini, Matthew Davies antara pemain yang turut menerima rawatan di Jerman selain Syamer Kutty Abba dan Muhammad Ramadhan Saifullah yang menjalani rawatan di Barcelona, Sepanyol.

Manakala Syahmi Safari pula menerima rawatan di Valencia, Sepanyol selepas mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam saingan Liga Super berdepan Penang FC sebelum ini.

Feroz menjadi salah seorang pemain yang sering mendapat kepercayaan dari pengendali pasukan, Hector Bidoglio untuk membarisi kesebelasan utama.

Kecederaan ACL yang dialami Feroz bermakna dia bakal tersisih daripada saingan kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula pada Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram