
SEORANG penyokong Liverpool benar-benar menonjolkan kesetiaannya kepada kelab dari zaman gelap hinggalah kembali merajai bola sepak England.
Itulah yang dilakukan oleh pemuda Kosovo, Uke Krasniqi pada 2003 apabila dia menanam azam untuk tidak memotong rambutnya sehingga Liverpool memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketika itu, bola sepak England sedang dikuasai oleh Manchester United dan Arsenal dengan The Reds kelihatan berada jauh di belakang untuk mendapat gelaran liga.
BACA LAGI: AI pilih Liverpool juarai UCL
BACA LAGI: Slot ingatkan fans Liverpool, jangan harap Isak cetus impak segera
Lama Krasniqi, yang menentap di Vancouver, Kanada menanti sejak 2003 hinggakan dia ditertawa dan menerima ejekan kerana setia menanti Liverpool untuk memenangi liga.
Namun begitu, kesetiaannya terbalas apabila pada 2020, Jurgen Klopp berjaya memimpin Liverpool ke kejuaraan liga yang pertama sejak 1990.
Azam yang ditanam sejak 2003 akhirnya terlaksana 17 tahun kemudian apabila Krasniqi akhirnya memotong rambutnya.
"Saya sudah lama menyimpan rambut saya, saya sangat menantikan detik ini.
"Saya katakan kepada diri saya, saya akan tunggu selama mana pun. Saya ada beberapa detik yang mengecewakan tapi sekarang saya sudah berada di sini, ia akan terjadi," ujarnya.
Detik bersejarah rambut Krasniqi yang panjang dan beralun itu dipotong oleh isterinya, Diana sebaik saja kapten Liverpool masa itu, Jordan Henderson sah mengangkat trofi EPL pada Julai 2020.
Lima tahun sejak detik itu, Krasniqi tidak lagi perlu menunggu terlalu lama untuk melihat Liverpool menjulang kejuaraan liga apabila The Reds muncul juara EPL sekali lagi pada musim 2024/2025.
Kini, Krasniqi dan isterinya masih tinggal di Kanada dengan dia bertugas sebagai pembantu pendidik di salah sebuah sekolah berasrama di sana.
Apa yang pasti, dia masih lagi teguh menjadi penyokong sejati The Reds. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram