
PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui yang skuadnya masih lagi kecil untuk mengharungi musim yang panjang.
Musim ini, Kinoshi berdepan pelbagai tugasan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia di peringkat domestik serta Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) serta Piala Shopee untuk aksi antarabangsa.
Dengan kekalahan kepada Bangkok United dalam ACL2 pada Khamis, Kinoshi secara terbuka mengatakan yang skuadnya masih kecil untuk melakukan penggiliran pemain (squad rotation).
BACA LAGI: Kunjungan terakhir kelab Thailand ke MBPJ ranapkan misi Selangor di Asia, rencat permulaan Kino
"Kami tidak mempunyai pemain yang cukup untuk lakukan penggiliran," kata Kinoshi kepada media selepas perlawanan.
Kenyataan itu menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan kepada para penyokong dengan persoalan, adakah Kinoshi tidak menerima sokongan yang sepatutnya daripada pengurusan tertinggi Selangor?
Bagi salah seorang penyokong Selangor, Danial Mazalan, kenyataan itu seolah-olah membuka satu persoalan mengenai kurangnya kelancaran kerjasama antara Kinoshi dengan pengurusan tertinggi kelab.
Oleh itu, siapakah yang harus disalahkan? Adakah Kinoshi sebagai jurulatih atau pengurusan kelab?
"Jadi siapa nak disalahkan (dalam) isu ni? Siapa nak bertanggungjawab? Takkan peminat akan terus diperbodohkan?," soalnya.
Sudah pasti, penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan menentang Bangkok apabila Selangor melepaskan tiga gol pada separuh masa pertama sebelum tumpas 2-4.
Ia sedikit sebanyak merencatkan langkah mereka untuk mara jauh di Asia ditambah kumpulan yang dihuni mereka turut mempunyai Lion City Sailors dan Persib Bandung tidak kurang hebatnya.
Selepas ini, Selangor akan menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super pada Ahad sebelum berdepan Tampines Rovers dalam Piala Shopee pada 24 September (Rabu). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram