
MISI mencari staf Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Masdeh Rosmin yang dilaporkan hilang ditemui tidak bernyawa selepas misi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama tiga hari.
Dengan hanya menggunakan gelen untuk berpaut semasa pencarian, Masdeh ditemukan di Sungai Kg Liau Laut, Keningau, Sabah pada Khamis.
Mayatnya ditemukan oleh pasukan Gelen Star yang turut menyertai SAR itu bersama-sama agensi awam yang lain.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Kau rajin iktikaf’, sahabat doakan staf SESB hanyut ketika bertugas di Keningau selamat
BACA LAGI: [VIDEO] 13 jam 'blackout', bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah pulih berperingkat
Menurut perkongsian Shahrizal Shom di Facebook, pasukan Gelen Star itu terdiri daripada penduduk Kampung Kota Ayangan, Keningau yang bersama-sama membantu mencari Masdeh.
Tanpa peralatan canggih untuk melakukan SAR, mereka hanya menggunakan gelen untuk berpaut ketika mencari Masdeh di sungai.
Melihat kepada usaha keras lagi murni itu, diharapkan agar Gelen Star mendapat pengiktirafan sepatutnya kerana turut bersama-sama membantu dalam misi tersebut.
"Hanya berbekalkan gelen sebagai tempat berpaut, mengharungi dan menelusuri sungai yang deras dan berbahaya.
"Merekalah pasukan Gelen Star yang sering kali menjadi wira tidak didendang, namun jasa dan pengorbanan mereka sangat besar dalam beberapa kes pencarian mangsa lemas dan hanyut sebelum ini, termasuklah kes terbaru ini.
"Kita mohon kepada pihak berkuasa tempatan, ADUN, SESB dan pihak berkenaan untuk memberikan penghargaan selayaknya buat mereka kerana mereka melakukan ini semua tanpa mengharapkan upah dan ganjaran.
"Terima kasih juga kepada pasukan lain yang terlibat terutamanya team SESB, bomba, polis, warga kampung dan yang berkenaan. Mereka juga turut berkorban masa dan tenaga dalam misi ini," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram