Baju pendekar Melayu tak tepati syarat, ibu dakwa guru tak benarkan anak sertai pertandingan baju kebangsaan


  • Bonda
  • Rabu, 17 Sep 2025

Tangkap layar memaparkan seorang kanak-kanak lelaki tidak dibenarkan menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Kebangsaan di sekolah atas alasan pakaiannya tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

LUAHAN hati seorang ibu kini tular di media sosial selepas anak lelakinya yang dikenali sebagai Aisy,7, tidak dibenarkan menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Kebangsaan di sekolah kerana alasan pakaian yang dipakai tidak memenuhi kriteria.

Menurut ibu Aisy, pagi tersebut mereka telah bersiap awal dengan penuh semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan di sekolah.

Dalam hantarannya di laman TikTok, @nurulaidiladhiah, dia berkongsi kegembiraan persiapan anaknya yang memakai baju pendekar Melayu berwarna biru diraja lengkap dengan sampin dan bertanjak sambil membawa wau bulan dan payung Merdeka.

BACA LAGI: Ibu Allahyarham Zara Qairina tolak bedah siasat walau sudah diberi penjelasan — Doktor

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki sanggup bayar berapa saja demi jengkaut, isteri dan anak akhirnya ditemukan tertimbus tanah runtuh di Papar

“Salam semua, sedikit luahan rasa kecewa, bukan meminta kecaman. Hari ini, 11 September 2025, adalah hari yang sudah lama ditunggu-tunggu oleh adik Aisy untuk sambutan Hari Kebangsaan di sekolah. Persiapan untuk pertandingan baju kebangsaan semuanya sudah siap. Pagi tadi dia bangun seawal pukul 5 pagi, tak sabar nak ke sekolah,” katanya.

Setibanya di sekolah, suasana ceria menyambut Hari Kebangsaan dengan pelbagai fesyen baju kebangsaan menarik dari para pelajar lain.

Namun, kegembiraan itu berubah menjadi duka apabila ibu Aisy tidak melihat kelibat anaknya di atas pentas sepanjang persembahan yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Setelah pulang, keluarga mendapat tahu bahawa anaknya tidak dibenarkan menyertai pertandingan tersebut dengan alasan baju yang dipakai tidak dianggap sebagai pakaian kebangsaan yang sah.

“Hancur hati saya apabila mendengar apa yang terjadi. Saya tahu betapa bersemangatnya adik Aisy untuk menyertai pertandingan ini,” luah ibu tersebut dengan nada kecewa.

Ibu tersebut juga merayu kepada para guru agar lebih peka terhadap perasaan anak-anak kecil dan tidak melukakan hati mereka dengan penolakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Tidak salah jika cikgu membenarkan sahaja semua murid yang mahu naik ke pentas. Kalah menang itu adat pertandingan, yang penting mereka mendapat pengalaman.

"Sanggup cikgu hampakan perasaan anak kecil ini. Apa salahnya kalau cikgu beri peluang untuk mereka merasa pengalaman itu?,” ujarnya.

Walaupun anaknya itu tidak dapat naik ke pentas, ibu dan ayahnya tetap menganggapnya sebagai juara di hati mereka.

“Untuk adik Aisy, jangan sedih. Mama dan papa sayang adik sangat-sangat,” tambah ibu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram