Terlalu harapkan Ifedayo boleh bawa risiko buat Kelantan TRW


  • Podium
  • Selasa, 16 Sep 2025

Kelantan The Real Warriors tampil garang musim ini apabila berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA dengan menyingkirkan Kuala Lumpur City FC pada Ahad. —Facebook/therealwarrior

SIAPA sangka pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim 2024/25 di kedudukan tercorot kini mula menunjukkan kebangkitan luar biasa.

Kelantan The Real Warriors (KTRW FC) tampil garang musim ini apabila berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA dengan menyingkirkan Kuala Lumpur City FC pada Ahad.

Sebelum ini sering dilabel sebagai ‘pasukan belasahan’, skuad bimbingan E. Elavarasan kini mula mengubah persepsi ramai termasuk penyokong sendiri apabila mencatat prestasi meyakinkan dalam musim 2025/26.

BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi

BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super

Kelantan TRW mara ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan KL City FC. Facebook/therealwarrior

Walaupun bermula hambar dengan kekalahan besar 0-4 kepada Kuching City FC dalam aksi awal Liga Super, Elavarasan berjaya menyusun semula rentak pasukan dan hasilnya mula membuahkan kejayaan.

Antara tonggak penting kebangkitan KTRW FC tidak lain tidak bukan adalah penyerang prolifik kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun yang kini menjadi ‘mesin gol’ pasukan.

Dia memainkan peranan utama ketika menewaskan Penang FC dan Imigresen FC, serta meledak dua gol penting dalam kemenangan 3-1 ke atas KL City FC dalam aksi pertama Piala FA.

Dengan ketajaman yang konsisten di hadapan gawang, Ifedayo membuktikan mengapa dia pernah merangkul Kasut Emas Liga Super dua musim berturut-turut pada 2020 dan 2021.

Namun begitu, timbul persoalan mengenai kebergantungan mutlak kepada pemain berusia 31 tahun itu.

Ifedayo (kanan) memaikan peranan penting dalam mengetuai jentera serangan Kelantan TRW. Facebook/therealwarrior

Sekiranya pasukan lawan berjaya ‘menutup’ ruang Ifedayo atau dia mengalami keletihan atau kecederaan, KTRW dijangka berdepan masalah besar di bahagian serangan.

Oleh itu, Elavarasan perlu segera merangka pelan jangka panjang dengan menyediakan alternatif yang setara bagi memastikan kestabilan jentera serangan sekiranya Ifedayo tidak dapat diturunkan.

Antara nama yang disebut berpotensi mengisi kekosongan jika perlu ialah bekas pemain sayap Sri Pahang FC, Sean Selvaraj dan Yusuf Sesay, namun kedua-duanya masih belum memiliki rekod konsisten setaraf Ifedayo dalam saingan Liga Malaysia.

Hal ini sekali gus menjadi cabaran besar buat Elavarasan dalam memastikan pasukan terus kompetitif sambil mengurangkan kebergantungan terhadap satu individu sahaja.

Dengan saingan masih panjang, KTRW FC kini berada di landasan positif untuk mencabar pencapaian yang lebih tinggi musim ini.

Namun, kestabilan pasukan bergantung kepada keupayaan Elavarasan untuk menyusun strategi jangka pendek dan panjang bukan hanya dari aspek taktikal, tetapi juga kedalaman skuad.

Jika diurus dengan baik, Kelantan The Real Warriors bukan sahaja mampu bangkit daripada reputasi tercorot musim lalu, malah mungkin muncul sebagai antara pencabar utama kejuaraan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram